Wanita UMNO bentang usul perundangan syariah pada Perhimpunan Agung UMNO
Bernama
November 16, 2016 10:20 MYT
November 16, 2016 10:20 MYT
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, selepas usul perundangan syariah dibentangkan, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan di bawah Wanita UMNO bagi menyelesaikan isu berkaitan. - Gambar fail
Perundangan syariah adalah antara usul yang akan dibentangkan Pergerakan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang dijadual bermula pada 29 Nov ini.
Usul berkenaan merangkumi penyeragaman undang-undang syariah di Malaysia, perundangan perwarisan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.
Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata usul itu hasil perbincangan pada Sidang Meja Bulat Syariah anjuran Biro Perundangan dan Advokasi pergerakan itu.
"Kami merasakan keperluan untuk membincangkan isu-isu berkaitan perundangan syariah ini adalah bagi memastikan adanya kandungan substantif daripada Wanita UMNO dan akar umbi.
"Isu-isu yang dibincangkan juga adalah menyeluruh dan tidak hanya terhad kepada isu wanita. Selepas usul-usul itu dibentangkan, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan di bawah pergerakan wanita bagi menyelesaikan isu-isu tersebut," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Sidang Meja Bulat Syariah pada Selasa.
Persidangan sehari yang pertama kali diadakan itu dipengerusikan Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Azizah Mohd Dun dan disertai pengamal dan pembuat dasar undang-undang Syariah negara termasuk Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Selangor dan Johor. -- Bernama
#penyeragaman undang-undang syariah
#Pergerakan Wanita UMNO
#Perhimpunan Agung UMNO
#Shahrizat Abdul Jalil
#usul