Wanita Sarawak ada cara halus pikat pengundi luar bandar - Jamilah Anu

Malissa Sahari
Mei 2, 2018 13:40 MYT
Jamilah berkata, suara-suara golongan wanita diangkat di peringkat pembuat dasar. - Foto fail Bernama
Penglibatan dan peranan golongan wanita di Sarawak kini sukar untuk disangkal selain diterima baik dalam arena politik.
Tugas mereka bukan lagi di belakang tabir sebaliknya bertanggungjawab sebagai pembuat dasar.
Malah, suara-suara golongan wanita di arena politik sudah mula didengar dan disahut sekali gus diberi kepercayaan memegang jawatan penting.
Pengiktirafan terhadap keupayaan dan sumbangan golongan itu diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Jamilah Anu.
Menurutnya, kesamarataan dan tidak berat sebelah telah diberikan dalam kalangan wanita di negeri ini termasuk suara-suara mereka diangkat di peringkat pembuat dasar.
"Saya lihat di Sarawak dari tahun ke tahun terdapat peningkatan dalam mengiktiraf peranan wanita. Saya berbangga di Sarawak ada dua menteri penuh wanita yang telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Tambah Jamilah, wanita juga mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri terutamanya dalam mendekati masyarakat di luar bandar.
"Inilah masanya kita mengangkat wanita kerana kita tahu wanita mempunyai pendidikan tinggi dan pengalaman.
"Golongan wanita juga ada kelebihan dan mempunyai cara halus menghadapi pengundi di luar bandar dan saya rasa sebagai seorang calon wanita, saya lebih peka dengan keadaan sosial mereka," katanya.
Menurut Jamilah, menerusi ekonomi digital, ramai wanita sudah menggunakan alternatif ini sebagai medium untuk menambah sumber pendapatan.
Menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), BN Sarawak mengekalkan tiga calon penyandang wanita, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Nancy Shukri (Parlimen Batang Sadong) dan Rubiah Wang (Parlimen Kota Samarahan).
Sementara, tiga muka baharu wanita turut ditampilkan, Datuk Hanifah Hajar Taib (Parlimen Mukah), Rita Sarimah Patrick Insol (Parlimen Selangau) dan Kho Teck Wan (Parlimen Bandar Kuching).
Di Sarawak, tiada calon wanita diketengahkan oleh parti Bebas, DAP, Amanah, PAS untuk PRU14 kali ini.
#belakang tabir #isu semasa #Jamilah Anu #Malaysia Memilih #Nancy Shukri #pembuat dasar #Rohani Abdul Karim #wanita
;