Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat perlu kembali ke idealisme asalnya iaitu sebagai suara lantang dalam menegur pimpinan, kata calon ketuanya yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Katanya lagi, beliau melihat sayap itu sebelum ini lebih kepada ‘pak turut’ dan kurang bersuara dalam membangkitkan isu-isu berkenaan parti itu.

“Kita tidak perlu takut dalam menegur pemimpin. Kita harus lantang bersuara di khalayak ramai, bukan hanya menjadi ‘pak turut'.

“Hari ini saya melihat sayap Wanita kurang mengamalkan ciri-ciri berkenaan dan saya ingin kembali memimpin wanita ke landasan itu,” katanya yang juga merupakan bekas pemimpin sayap berkenaan antara 2000 hingga 2007.

Jawatan itu sebelum ini disandang Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang dijadualkan akan bertanding untuk Naib Presiden pada pemilihan kali ini.

Setakat 1 tengah hari, hanya ada seorang lagi yang sudah menghantar borang pencalonan bagi ketua Wanita selain Fuziah, iaitu ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha.