Wanita PKR desak kepimpinan tertinggi ambil tindakan tegas kegagalan e-undi
Bernama
September 23, 2018 00:37 MYT
September 23, 2018 00:37 MYT
Wanita PKR mendesak kepimpinan tertinggi parti mengambil tindakan tegas terhadap Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) atas kegagalan sistem e-undi yang dilaksanakan semalam.
Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dalam kenyataan hari ini juga berkata JPP patut digantikan dengan badan bebas seperti Bersih untuk mengendalikan proses pemilihan kali ini.
Beliau berkata amaran dan desakan oleh pimpinan dan anggota terhadap Setiausaha Agong itu berikutan sistem baharu e-undi yang dikhuatiri kemampuan, ketelusan dan kestabilannya seperti yang telah dinyatakan berkali-kali sebelum ini namun tidak diambil perhatian.
"Perkara yang dikhuatiri akan berlaku sudah terjadi dan JPP tidak bersedia langsung dengan kemungkinan kegagalan sistem itu sehingga terpaksa membatalkan proses pemilihan di beberapa negeri.
Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini mewajarkan keputusan yang tegas diambil oleh kepimpinan tertinggi parti terhadap Setiausaha Agong dan JPP," katanya.
Proses pengundian bagi pemilihan PKR di empat negeri iaitu Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguh ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian berikutan beberapa masalah dalam sistem e-undi yang dihadapi ketika proses pengundian berlangsung di Pulau Pinang dan Kedah semalam.
Ekoran masalah itu, proses pemilihan di Kedah juga dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak, kata Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop semalam.
"Wanita Keadilan juga berpandangan, Setiausaha Agong harus bersifat neutral dalam urusan pengendalian pemilihan selepas ini kerana beberapa kali telah dilihat menzahirkan sokongan kepada calon yang bertanding.
Wanita mendesak kepimpinan tertinggi parti membuat keputusan serta bertindak segera bagi membetulkan kegagalan (supaya) proses pemilihan yang telus dan bersih dapat dilaksanakan," kata Haniza.
-- BERNAMA