Wanita PKR cabar Muhyiddin benarkan PAU
Astro Awani
Januari 10, 2021 13:33 MYT
Januari 10, 2021 13:33 MYT
KUALA LUMPUR: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar membenarkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung pada akhir bulan ini tanpa sebarang helah politik termasuk menjadikan COVID-19 sebagai alasan untuk menghalang perjalanan PAU.
Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, pihaknya melontarkan cabaran itu kerana mengambil iktibar cadangan pengisytiharan darurat di seluruh negara oleh Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu demi kepentingan politik peribadinya.
"Memasuki dekad baharu ini, rakyat sedia maklum akan hakikat ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negara.
"Kemelut persekongkolan PN yang masih tidak usai sejak tercetusnya Langkah Sheraton merencatkan usaha memerangi wabak COVID-19 sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur luar negara untuk melabur dalam negara," katanya dalam hantaran di Facebooknya di sini, semalam.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan memaklumkan bahawa terdapat tiga usul utama dibangkitkan UMNO Bahagian iaitu mempertahankan Muafakat Nasional (MN), memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menggesa PRU15 dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.
Justeru itu Ker Chean berkata, Muhyiddin perlu mengutamakan penyelesaian kemelut ini dengan menerima keputusan PAU kelak sama ada UMNO akan kekal dalam menyokong beliau atau tidak selaku PM dengan majoriti paling tipis dalam sejarah Malaysia.
Katanya, Malaysia menunjukkan teladan yang terbaik kepada dunia terutamanya negara-negara yang mendukung sistem demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu apabila peralihan kuasa yang aman dan damai berlaku dalam Malaysia.
Ekoran itu, beliau berharap agar Muhyiddin tidak mencontohi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trumph yang enggan memudahkan proses peralihan kuasa sehingga menyebabkan tragedi berlaku di AS kebelakangan ini.
"Saya menyeru perdana menteri supaya mengizinkan peralihan kuasa berlaku dengan aman sekiranya beliau kehilangan sokongan UMNO menerusi PAU pada hujung bulan ini," katanya.