Wanita muda kerja dari rumah perlu dilaksana - Mas Ermieyati
Hamzah Hamid
November 26, 2014 14:07 MYT
November 26, 2014 14:07 MYT
Isu keluhan golongan pertengahan daripada golongan profesional dan berkemahiran khususnya wanita muda yang baru memulakan kehidupan berumah tangga dibangkitkan oleh Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.
Dalam ucapan dasar beliau sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, beliau menyentuh soal wanita muda yang terpaksa berhenti kerja kerana perlu menjaga anak-anak yang masih kecil.
"Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, suami terbeban apabila isteri sudah tidak ada sumber pendapatan.
"Mereka tiada pilihan, terpaksa berhenti bekerja. Untuk mengambil pembantu rumah warga asing perlu ada sekurang-kurangnya RM10,000.
"Untuk menghantar anak ke rumah pengasuh, tidak semua pengasuh profesional dan ini membuatkan mereka bimbang pada keselamatan anak mereka," kata beliau.
Mas Ermieyati meminta kerajaan agar menyediakan lebih banyak inisiatif kepada kumpulan wanita muda untuk memulakan kerjaya, tidak kira kerjaya pejabat atau ‘work-home based’ bagi menggalakkan lagi keusahawanan dalam kalangan wanita yang berkeluarga seperti ‘online business/rebranding online business’.
"Beri inisiatif potongan cukai serta beberapa keistimewaan khas kepada mereka," tambah beliau.
Mas Ermieyati percaya, ramai daripada mereka mahu membantu menambah pendapatan dengan bekerja dari rumah, namun kebanyakan majikan belum terbuka berhubung perkara tersebut.
Puteri UMNO ingin melihat satu pendekatan yang serupa dalam dasar kerajaan hari ini.
"Kami tidak mahu melihat hanya swasta memulakan dan menjayakan pelaksanaan itu, sebaliknya Puteri lebih suka dan percaya jika kerajaan memulakan pendekatan memperjuangkan isu wanita bekerja dari rumah," kata beliau.