Wanita dan politik: Lihat sebagai pelengkap, bukan jadi pesaing

Harits Asyraf Hasnan
April 1, 2021 14:22 MYT
Kebanyakan kajian gender berpaksikan alat analisis Barat, bermasalah kepada masyarakat yang tebal unsur kepercayaan adat dan adab seperti di Jepun dan Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Wanita tidak harus panik atau khuatir selepas kedudukan Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 berada di tangga 112 daripada 156 negara.
Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, pengukuran yang dibuat Forum Ekonomi Sedunia (WEF) lebih bersifat pendekatan situasi dan tidak menyeluruh.
Jelasnya, penyertaan substantif dan keberadaan wanita dalam sesuatu sektor tidak boleh diukur kepada kayu ukur yanng mahukan pembebasan sepenuhnya (absolute liberation).
Indeks Jurang Gender Global 2021 | Kedudukan Malaysia jatuh
"Persoalan di Timur dan persoalan di Malaysia adalah adat dan adab serta tuntutan agama adalah kukuh, ini tidak merendahkan martabat wanita.
"Tambah pula, penglibatan wanita harus diiktiraf dan mengukur sumbangan wanita secara menyeluruh, tidak hanya sebagai ketua atau ahli Parlimen.
"Kalau kita ambil contoh penglibatan wanita di Jepun termasuk dalam pemerkasaan wanita, ia juga diukur dalam keadaan menurun iaitu dari tangga 144 tahun 2020 turun ke-147.
"Wanita di Jepun tidak berasa tercabar malah mengakui nilai adab, adat dan tradisi, serta tugas wanita mendidik anak, menjadi suri rumah, sebenarnya mengukuhkan politik, ekonomi dan sahsiah generasi Jepun," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
BACA: Indeks Jurang Gender Global 2021: Kedudukan Malaysia jatuh
Laporan Indeks Jurang Gender Global 2021 turut menyatakan subindeks politik mencatatkan skor terendah, lantaran penglibatan wanita yang rendah sebagai Ahli Parlimen mahupun dalam Kabinet.
Mengulas lanjut, Kartini menegaskan politik Malaysia telah membuktikan gender bukan halangan dalam politik lantaran telah ramai tokoh-tokoh wanita berjaya menang dalam pilihan raya sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen menentang calon lelaki.
"Malaysia harus ada pandangan dan alat analisis dengan kearifan tempatan yang menerima kesaksamaan gender, yang turut meliputi sokongan kerjasama gandingan gender yang saling melengkapi dan bukan dalam lensa persaingan.
[INFOGRAFIK] Laporan Jurang Gender Global Forum Ekonomi Sedunia (WEF)
"Sebaliknya, Barat melihat ia (pemerkasaan wanita) sebagai suatu persaingan, sebagai dua garis selari yang tiada penghujungnya.
"Sedangkan di Timur, apa yang dilihat ialah sokongan kerjasama gandingan yang saling melengkapi ibarat Ying dan Yang. Ini sebenarnya yang harus diketengahkan," katanya.
Beliau berpandangan, kebanyakan kajian gender sangat berpaksikan kepada alat analisis Barat yang beliau sifatkan sangat bermasalah terutama kajian melibatkan sebuah masyarakat yang tebal unsur kepercayaan adat dan adab seperti di Jepun dan Malaysia.
WEF melaporkan, penglibatan wanita Malaysia dalam subindeks politik jatuh ke tangga 128, berbanding 117 daripada 156 negara pada tahun lalu.
Turut menunjukkan penurunan dalam subindeks tersebut adalah Jepun iaitu dari tangga 144 pada 2020 ke tangga 147, dan Brunei dari tangga 148 kepada tangga 152.
#wanita dan politik #politik wanita #politik #pemerkasaan wanita #penglibatan wanita #Parlimen #ekonomi #pilihan raya #Dr Kartini Aboo Talib #UKM #KITA UKM
;