Wang deposit USNO didakwa hilang sebenarnya tidak wujud - Polis Sabah

Bernama
Mei 2, 2018 22:18 MYT
RAMLI: Suspek yang dikatakan terlibat juga tampil membuat laporan polis menafikan menerima wang tersebut. - Gambar fail
Wang deposit sebanyak RM870,000 yang didakwa hilang oleh calon parti USNO untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebenarnya tidak wujud, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.
Beliau berkata siasatan awal mendapati calon-calon parti itu hanya dijanjikan dengan wang deposit untuk bertanding dan menerusi 'cakap-cakap' daripada anggota parti itu sendiri.
"Tiada sesiapa yang pernah melihat dan menerima wang itu. Suspek yang dikatakan terlibat juga tampil membuat laporan polis menafikan menerima wang tersebut kerana tiada pembayaran dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis, Kepayan, di sini hari ini.
Ramli berkata berikutan itu, 84 calon daripada USNO tidak dapat bertanding pada PRU14 ini.
Beliau berkata setakat ini 10 orang saksi dipanggil untuk direkod percakapan termasuk suspek yang berusia 38 tahun.
"Bagaimanapun polis tidak menolak kemungkinan ada calon telah membuat pembayaran kepada orang-orang tertentu sebagai wang deposit," katanya.
Ramli berkata siasatan masih di peringkat awal dan polis akan memanggil ramai lagi saksi untuk direkod keterangan.
Baru-baru ini media tempatan di negeri ini melaporkan calon parti USNO yang akan bertanding dalam PRU14 dapat bertanding selepas wang pendahuluan didakwa telah dilarikan penasihat kewangan parti itu.
Dalam pada itu, Ramli berkata polis menerima sebanyak 71 laporan berhubung perbuatan khianat sejak Parlimen dibubarkan.
Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 24 kertas siasatan dibuka dan sedang disiasat.
-- BERNAMA
#MalaysiaMemilih #parti politik #PDRM #pilihan raya #polis #PRU14 #Sabah #suspek #USNO #wang deposit
;