Wan Saiful terima permohonan maaf daripada Shukri
Sinar Harian
Februari 5, 2024 17:10 MYT
Februari 5, 2024 17:10 MYT
SHAH ALAM: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menerima permohonan maaf daripada individu bernama Mohd Shukri Shamsudin atas tuduhan palsu yang dilakukan sebelum ini.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, lelaki terbabit mengakui kesalahan tersebut dilakukan dalam satu video yang tersebar.
“Dalam video itu, Shukri memberi gambaran seolah-olah saya bersalah dan bersedia mengembalikan wang supaya pertuduhan kepada saya ditarik semula pihak pendakwa.
“Sedangkan sebenarnya saya kekal dengan pendirian bahawa pendakwaan ke atas saya adalah yang terpilih bermotif politik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Tahun lalu, media melaporkan wakil rakyat itu memfailkan tuntutan saman terhadap seorang individu atas dakwaan menipu dan memfitnahnya dalam media sosial.
Katanya, peguam sudah memfailkan tuntutan terhadap individu bernama Shukri, yang didakwa menipu dan memfitnah menerusi satu rakam video.
Wan Saiful bersimpati terhadap individu terbabit yang menyatakan tidak mempunyai kemampuan kewangan.
Menurutnya, Shukri mengucapkan terima kasih kepadanya kerana bersetuju tidak menuntut sebarang pampasan terhadapnya.
“Biasa kes sebegini, saya juga boleh menuntut pampasan tunai, tetapi Shukri beritahu yang dia tidak mampu,” jelasnya.
Pada masa sama, Wan Saiful menasihati orang ramai agar mewujudkan budaya politik yang lebih bermaruah dan berakhlak.
Beliau turut meminta masyarakat menggunakan ruang yang ada untuk mewujudkan suasana politik lebih matang, berteraskan ilmu dan bukan lagi politik fitnah atau dendam.
“Kadang-kadang kita generasi baru politik ada yang tersepit dalam dendam lama dan menjadi mangsanya.
“Tapi janganlah kita sebagai generasi baru dalam politik Malaysia terikut-ikut, apatah lagi menjadi jurucakap kepada kepada mereka yang mengamalkan politik lama,” ujarnya. - Sinar Harian