Wan Saiful kecam ugutan bunuh diterima Teresa Kok

Sinar Harian
Mei 20, 2024 05:15 MYT
Wan Saiful menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengecam tindakan ugutan pembunuhan yang diterima oleh Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera kerana sebagai wakil rakyat, mereka perlu berasa selamat untuk menyuarakan pandangan tanpa kebimbangan mengenai ugutan sedemikian.
“Saya bersimpati dengan Yang Berhormat, Teresa Kok yang menerima ugutan kelmarin. Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan sihat dalam sistem demokrasi.
“Kita mesti pastikan budaya mengugut, apatah lagi dalam perkara melibatkan keselamatan diri dan nyawa, tidak ada tempat dalam negara kita,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh itu menerima kertas ugutan bunuh dan menganggap kejadian tersebut seolah-olah tidak masuk akal.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kesalahan yang telah dilakukan sehingga menerima ugutan bunuh.
Teresa berkata, susulan daripada kejadian itu beliau membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan pihak berkuasa telah datang ke bahagian peti surat di kondominium tersebut untuk menjalankan pemeriksaan. - Sinar Harian
#Teresa Kok #Wan Saiful Wan Jan #ugutan bunuh #peluru