Wan Rosdy umum senarai Exco Pahang
Astro Awani
Disember 14, 2022 12:06 MYT
Disember 14, 2022 12:06 MYT
KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan senarai portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas 12 hari mereka mengangkat sumpah jawatan membentuk kerajaan campuran.
Wan Rosdy ketika mengumumkan senarai tersebut di Wisma Seri Pahang Kuantan menggesa barisan Exco yang dilantik segera bekerja untuk rakyat kerana prestasi mereka akan dinilai semula empat atau lima tahun akan datang.
"Sebab dah jadi kerajaan dah ada jawatan kena buat kerja untuk rakyat… kalau tak rakyat akan pertikaikan kita pulak. Yang penting kita akan menghadapi rakyat semula dalam masa empat kelima tahun daripada sekarang itu hakikatnya," jelas Wan Rosdy.
Beliau dalam masa sama berharap kesemua barisan Exco juga dapat mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi masing-masing serta bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap bagi memastikan segala agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.
Wan Rosdy juga memaklumkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama akan diadakan pada 29 Disember ini bagi melantik Speaker dan Timbalan Speaker yang baharu sesuai pembentukan kerajaan baharu di negeri itu, tanpa mengumumkan siapa calon terbabit.
Dalam pengumuman itu, Menteri Besar Pahang itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai akan memegang portfolio Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air.
Tidak ketinggalan portfolio Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi juga di bawah tanggungjawab beliau.
Sementara dua ADUN dari Pakatan Harapan, Sim Chon Siang pula memegang portfolio Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, manakala Leong Yu Man memegang portfolio Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan.
ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak pula dikekalkan untuk portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan.
Bagi portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli pula dipikul oleh Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga ADUN Kerdau.
ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff diumumkan menerajui portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan.
Wan Rosdy turut menyenaraikan muka baharu sebagai Exco iaitu Ir Razali Kasim (ADUN Muadzam Shah) bagi portfolio Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan, sementara ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.
Anak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar pula memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi.
Tidak ketinggalan ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidan memegang portfolio Pembangunan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar,Fadzli Mohamad Kamal (ADUN Dong) yang dilantik sebagai Exco memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan.
Barisan 10 Exco Kerajaan Pahang telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, 2 Disember lalu.