Wan Rosdy akan rampas kerusi Lipis hanya serangan lemah pembangkang

Sinar Harian
Februari 10, 2024 12:27 MYT
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad turut menyifatkan ia persepsi dimainkan pembangkang bagi meracuni kubu kuat UMNO yang telah disinergikan oleh Wan Rosdy di peringkat UMNO Pahang. - Gambar fail/Astro AWANI
KUANTAN: Tindakan pembangkang yang menimbulkan pelbagai persepsi termasuk kononnya Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan merampas kerusi Parlimen Lipis sebagai serangan tempang dan lemah.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad turut menyifatkan ia persepsi dimainkan pembangkang bagi meracuni kubu kuat UMNO yang telah disinergikan oleh Wan Rosdy di peringkat UMNO Pahang.
"Nampaknya ada pihak yang tak keruan dan tak selesa bila keakraban dan kedudukan UMNO Pahang semakin kukuh, bertambah daya dari hari ke hari di bawah pimpinan Wan Rosdy.
"Sampai tular suara-suara kononnya kerusi yang saya sedang sandang ini (Ahli Parlimen Lipis) akan ‘ditapau’ oleh Datuk Seri Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, berita melagakan-lagakan itu tersebar selepas satu retreat diadakan melibatkan kehadiran semua Ketua Bahagian dan Ahli Jawatankuasa UMNO Pahang di Janda Baik baru-baru ini.
Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan, tindakan terbabit sebenarnya cuba melemahkan kekuatan UMNO Pahang dan ia dicanang tanpa usul periksa serta sebarang bukti yang nyata.
Beliau bagaimanapun merakamkan rasa hormat dan kesetiaan terhadap analog perjuangan yang dibawa oleh Wan Rosdy bagi memacu negeri, parti ini ke suatu peringkat tinggi serta kalis cabaran mendatang.
"Percayalah kecemerlangan UMNO Pahang ini datangnya dari kekukuhan dan kekuatan peribadi Wan Rosdy itu sendiri.
"Jika bukan sosok ini yang menerajui UMNO Pahang, bersedialah menerima siri kejatuhan UMNO Pahang seperti yang berlaku di negeri lain," katanya.
Abdul Rahman memaklumkan secara peribadi beliau tidak menaruh sebarang dendam terhadap mereka yang menyebarkan fitnah berkenaan.
Jelasnya, ini kerana golongan sebegini akan terus menabur tanpa segan silu selagi jiwa mereka tidak menemui Ilahi.
"Daripada kita melayan serangan seperti ini, adalah lebih baik kita menumpukan keringat, fikiran dan langkah bagi memastikan rakyat menuju sebuah paradigma baharu berasaskan aspirasi Malaysia Madani amnya serta Negeri Pahang khususnya," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#UMNO Pahang #Wan Rosdy Wan Ismail #Ahli Parlimen Lipis #Abdul Rahman Mohamad t
;