Wan Azizah tidak layak jadi Ketua Pembangkang - Noh Omar

Wan Syamsul Amly
Mei 15, 2015 09:52 MYT
NOH: Wan Azizah tidak layak jadi Ketua Pembangkang - Gambar fail
Ketua Pembangkang yang baharu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disifatkan tidak layak menjawat jawatan itu kerana bilangan kerusi yang diwakili PKR kurang dari yang dimiliki DAP di Parlimen.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, PKR seolah-olah diperkudakan DAP yang hanya mahu menggunakan parti itu untuk kepentingan politik peribadi mereka.
"Pembangkang selalu cakap mengenai soal majoriti tetapi nampaknya mereka sendiri tidak tidak mengikut suara majoriti kerana DAP lebih ramai daripada PKR di Parlimen.
"Tetapi kalau diikutkan DAP memang lebih cerdik daripada PKR. Mereka tidak mahu jawatan tetapi memegang kuasa lebih banyak di dalam Pakatan Rakyat (PR)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
BACA: PAS setuju Wan Azizah dilantik Ketua Pembangkang
Noh mengulas persetujuan PAS dengan DAP untuk menyerahkan jawatan ketua pembangkang kepada Dr Wan Azizah.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini dilaporkan berkata, pendirian itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas DAP sudah mengambil keputusan untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Dr Wan Azizah.
BACA: Tiada masalah untuk Wan Azizah jaga dua kawasan - PKR
Dalam pada itu kata Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, DAP dilihat mempunyai misi jangka panjang untuk menguasai negara dan menggunakan sepenuhnya PKR serta PAS untuk memenuhi cita-cita mereka.
"Mereka ada majlis jawatan kuasa dan DAP memilih kuasa berbanding jawatan. Untuk jawatan mereka serah kepada PKR namun jelas DAP lebih berkuasa, jadi sekarang sebenarnya semua parti di dalam PR sebenarnya mengikut tunjuk DAP," jelasnya.
BACA: Azmin, mana janji mahu bekerjasama dengan Kerajaan Pusat? - Noh Omar
Sebelum ini, portal berita tempatan melaporkan DAP mahu Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh memegang jawatan Ketua Pembangkang berbanding Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
DAP kini memegang 38 kerusi di dalam Parlimen sementara PKR hanya 30 dan PAS 21.
#DAP #Noh Omar #Parlimen #PAS #PKR #UMNO