Wan Azizah, Nurul Izzah sifatkan surat Anwar hal dalaman PKR
Harits Asyraf Hasnan
Mei 17, 2016 13:38 MYT
Mei 17, 2016 13:38 MYT
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan 'warkah dari penjara' daripada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah hal dalaman parti itu.
Wan Azizah yang enggan mengulas lanjut surat yang secara keras menentang Deklarasi Rakyat itu tidak mendedahkan secara lanjut butiran surat itu.
“Ia hal dalaman, hal dalaman. Terima kasih,” jelas beliau ketika diminta menjelaskan kesahihan surat tersebut di lobi Parlimen di sini hari ini.
Reaksi sama diutarakan anaknya, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR.
"Saya fikir jelas, pada masa kini tidak perlu untuk saya dedahkan apa-apa kepada umum.
"Saya punya tanggungjawab untuk menjadikannya sebagai perihal dalaman kami. Terima kasih kerana memahami," katanya.
Semalam, banyak pihak dikejutkan dengan pendedahan surat dengan sejumlah tujuh halaman bertulis tangan itu yang menyentuh penglibatan parti tersebut dalam Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.