Wan Azizah diingat jangan jadi isteri nusyuz - Noh

Wan Syamsul Amly
Ogos 5, 2014 12:51 MYT
Wan Azizah diingat jangan jadi isteri nusyuz - Gambar fail
Tuduhan kegagalan 'Langkah Kajang' berpunca daripada Barisan Nasional (BN) oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilihat kelemahan PKR sendiri dalam merencana strategi politik.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, langkah memilih Wan Azizah sebagai MB untuk melengkapkan penyerahan jawatan itu kepada Anwar kelak harus diikut seperti direncana Anwar sendiri selama ini.
"Jika Azizah tidak ikut, dia akan dianggap isteri nusyuz (derhaka). Jadi tidak salah kalau ada kenyataan yang menyifatkan Azizah ini hanya 'boneka' Anwar.
"Azizah boleh lantik Anwar sebagai penasihat, pakar rujuk atau MB sekali pun, itu gimik politik yang boleh dibaca," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Noh mengulas laporan sebuah akhbar mengenai reaksi Wan Azizah yang tidak kisah seandainya digelar 'boneka' selepas dinamakan sebagai calon MB Selangor menggantikan Menteri Besar Selangor dari Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Laporan itu turut menyebut, Wan Azizah akan melantik pemimpin de facto PKR yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat, sekiranya mengisi jawatan itu nanti.
Azizah turut dilaporkan akan menjadikan Anwar sebagai penasihat sekiranya menjadi MB.
Dalam pada itu jelas Noh, kegagalan 'Langkah Kajang' dilihat berpunca daripada Anwar yang sengaja mencipta kemelut politik Selangor walau tahu dihukum penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
"Anwar yang merencana semuanya, dia tahu akan dipenjara dan pada masa yang sama menyuruh ADUN Kajang meletak jawatan dengan alasan ' Langkah Kajang'.
"Hari ini selepas semuanya gagal, kesalahan dicalit kepada BN, ini sikap mereka sejak dahulu lagi," ujarnya.
Pada Isnin, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dikatakan akan mendedahkan sebab di sebalik usaha penyingkiran Abdul Khalid dari jawatan yang disandangnya sekarang.
Anwar sebelum ini mengumumkan Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat telah bersetuju dengan cadangan untuk menggantikan Abdul Khalid dengan Wan Azizah sebagai MB Selangor.
Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan sokongan kepada Abdul Khalid untuk terus mengekalkan jawatan itu sehingga akhir penggal.
#Anwar #Azmin #DAP #Noh #PAS #PKR #Wan Azizah
;