Wan Azizah akan bawa usul undi tidak percaya PM di Dewan Rakyat
Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Oktober 19, 2015 17:20 MYT
Oktober 19, 2015 17:20 MYT
Pakatan Harapan memutuskan hari ini supaya Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanggungjawab membawa usul undi tidak percaya perdana menteri di Dewan Rakyat.
Dr Wan Azizah berkata usul tersebut akan difailkan mengikut Seksyen 26 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Beliau mendakwa usul itu akan turut disokong ahli Parlimen PAS.
"Berdasarkan peraturan, apabila usul tersebut difailkan, kita perlu tunggu dua minggu sebelum kita tahu ia diterima atau tidak," katanya pada sidang media di Parlimen.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Dr Wan Azizah yang sepatutnya diberikan tanggungjawab membawa usul tersebut atas kapasitinya sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau membuat kenyataan sedemikian susulan notis yang difailkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian untuk mengusulkan undi tidak percaya.
Usul tersebut adalah perkara ke-25 dalam senarai usul untuk dicadangkan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat pada hari pertama.