Wala' UMNO yang tidak seindah Pas

Wan Syamsul Amly
September 7, 2019 16:19 MYT
Matlamat UMNO dan Pas serta parti-parti sekutunya yang lain adalah sama - mengalahkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. - Gambar Hiasan
SEMUA orang mengetahui, menjelang minggu hadapan, UMNO dan Pas akan memeterai piagam dan memorandum persefahaman (MoU) yang bakal menjadi titik permulaan kepada usaha memuktamadkan kerjasama di antara kedua-dua parti Melayu terbesar di Malaysia.
Matlamat UMNO dan Pas serta parti-parti sekutunya yang lain adalah sama - mengalahkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan tumpuan ke arah mengurangkan penguasaan DAP dalam kerajaan atas nama bangsa dan agama.
Dengan kekuatan jumlah ahli yang ada antara kedua-dua parti dan mereka yang bersekutu, pastinya tindakan ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak lawan.
Ia sejajar dengan statistik PRU lalu yang menyaksikan kelebihan besar jika undi kedua-dua parti disatukan.
Namun, jika dilihat antara kedua-dua parti itu, Pas sebenarnya mempunyai kelebihan yang agak ketara dalam prinsip wala' yang menjadi antara teras terpenting dalam perjuangan sesebuah parti dalam menentang lawannya dalam senario politik negara yang kompleks.
Wala’ bermaksud kepatuhan, kasih dan setia dengan ikhlas kepada perjuangan Islam kerana Allah.
Kita semua juga tahu dan sedia maklum, ahli-ahli Pas mengamalkan prinsip wala' atau setia pada perjuangan parti termasuk apa jua yang telah diputuskan Presiden Pas selaku tonggak utama pentadbiran parti.
Secara kasar, kita boleh nampak betapa ahli-ahli terutama pucuk pimpinan Pas sangat setia, patuh dan menuruti tanpa banyak soal jika sesuatu keputusan itu dibuat oleh presiden yang diberikan mandat utuh untuk merangka, melaksanakan dan menyiapsiagakan parti untuk mencapai matlamat politik bersama.
Belum menghayati
Malangnya, UMNO yang turut bersekutu dalam kempen penyatuan ummah ini sebenarnya masih belum menghayati sepenuhnya prinsip wala' terutama dalam keputusan yang dibuat oleh presidennya.
Suka atau tidak, walaupun mempunyai pendapat yang berbeza sekalipun dalam langkah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali ke persada politik negara selaku Presiden UMNO, ahli-ahli terutama pimpinannya harus menghormati haknya untuk kembali menerajui parti atas mandat yang diterima walaupun menerima tekanan yang cukup hebat oleh pihak penguasa.
Sebagai teraju utama dalam UMNO yang mengalami pengalaman ngeri pada 9 Mei tahun lalu, Ahmad Zahid perlu berhempas-pulas mendapat dokongan dan sokongan tidak berbelah-bahagi dari pucuk pimpinan serta ahli-ahli UMNO selain memiliki barisan kepimpinan yang mantap lagi bertenaga.
Sejarah membuktikan, pembangkang dahulu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku teraju utama parti pembangkang juga menikmati sokongan tidak berbelah-bahagi daripada pucuk pimpinan dan ahli-ahli mereka.
Wala' seperti ini berlaku sampai ada yang berkata, tanpa Anwar maka matilah PKR dan tanpa Kit Siang pecah-belahlah jadinya DAP.
Ia seakan simbol bagi menjustifikasikan betapa prinsip wala' itu sebagai antara teras utama yang menjadi pemangkin untuk PH menumbangkan parti segergasi UMNO pada PRU14 lalu.
Lebih dari itu, UMNO kini memerlukan penyatuan, kesatuan dan penggemblengan tenaga semua pihak termasuk Pas dan beberapa parti lain untuk kembali mendapat sokongan total pengundi Melayu termasuk yang bakal mengundi buat kali pertama pada PRU akan datang selain menarik semula undi kaum-kaum lain.
UMNO tiada pilihan lain, sama ada bersatu sesama sendiri dan bersama parti-parti lain bagi membawa keyakinan di kalangan rakyat pelbagai kaum untuk memilih semula mereka sebagai alternatif yang baik berbanding wala' PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) selain PPBM sendiri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun, apa yang agak memualkan, masih ada khabar beberapa pucuk pimpinan parti yang masih berkelakuan seperti mana berada dalam kerajaan dahulu dengan tindakan yang tidak sepatutnya - menyanggah keputusan Presiden UMNO walaupun tatkala menjadi pembangkang hari ini.
Keadaan ini, selain menjadi perbincangan bersama-sama sahabat-handai ketika sesi mengopi, telah mewujudkan persoalan mengenai rasionalnya untuk beberapa pucuk pimpinan utama atau lebih sesuai disebut 'panglima-panglima' besar dalam UMNO menyanggah keputusan Ahmad Zahid untuk melantik Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.
Restu MCA dan MIC
Sedangkan kini, sudah ada khabar yang didengar, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran sendiri 'merestui' hasrat Presiden UMNO itu untuk melantik bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke jawatan berkenaan beberapa minggu yang lalu.
Apa jua sebab boss-boss MCA dan MIC ini merestui pelantikan itu, pastinya mereka yang berpengalaman dalam sepak-terajang politik BN ini tahu dan memahami gandingan yang boleh mereka jelmakan kepada para penyokong dan rakyat dalam mencapai maksud perjuangan.
Pastinya, tindakan Ahmad Zahid bersama-sama sokongan padu oleh Ka Siong dan Vigneswaran selaku parti-parti komponen utama BN untuk melantik Hishammuddin dibuat demi memperkukuhkan UMNO selaku parti utama.
Ia sekali gus usaha memperkasakan BN dalam menempuhi ranjau dan duri menjelang PRU15 akan datang.
Justeru, dalam hal ini, minda ligat berfikir untuk mencari apa masalahnya dan apa perlunya untuk menyanggah keputusan presiden parti untuk hal sepenting ini tatkala presiden memerlukan kalau boleh 120 peratus sokongan dan dokongan semua terutama pimpinan atasan untuk mengemudi UMNO bersama-sama Pas menuju PRU15.
Persoalan ini yang membuatkan sesetengah pihak pening atau gundah-gulana dalam mengenangkan masa depan serta hala tuju parti yang pernah menjadi pemerintah selama lebih 60 tahun itu.
Di kala ini, UMNO dan BN sedang mengalami proses pemulihan sejak 9 Mei tahun lalu dan berdepan kerajaan yang dikatakan sedang rapuh dimamah usia, walaupun baru setahun jagung di Putrajaya.
Pemulihan UMNO dan BN ini sangat penting kerana jika tidak berjaya mengalahkan PH pada PRU, negara pasti memerlukan barisan pembangkang yang lebih kuat berbanding sekarang bagi memastikan proses semak dan imbang dalam pentadbiran negara diperkasakan.
Setidak-tidaknya, BN bersama-sama Pas dan sekutunya yang lain tidak lagi hanya menangguk di air yang keruh dalam melihat sengketa yang tidak berkesudahan antara parti-parti komponen dalam PH bagi menagih semula undi dan sokongan rakyat berbilang kaum dan pelbagai peringkat usia.

* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Abdul Hadi Awang #Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #DAP #Hishammuddin Hussein #Lim Kit Siang #Mahathir Mohamad #MCA #MIC #PAS #PKR #PPBM #PRU14 #UMNO #Wee Ka Siong #Zahid Hamidi
;