Wakil rakyat Sabah ambil sikap tunggu dan lihat - Penganalisis politik
Assim Hassan
Jun 21, 2020 13:02 MYT
Jun 21, 2020 13:02 MYT
Wakil rakyat Sabah dilihat mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang keputusan sama ada melompat parti atau tidak.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, tindakan itu juga didorong oleh senario politik semasa yang berlaku di peringkat Persekutuan.
Malah Dr Romzi juga memberi bayangan bahawa persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai itu juga sebagai indikator kepada sokongan para wakil rakyat terutama dari Sabah.
"Pemimpin kita di Sabah mengambil sikap tunggu dan lihat. Saya 13 Julai ini ketika persidangan Parlimen akan jadi penentu sama ada akan ada lompat-melompat atau sebaliknya.
"Situasi itu juga menjadi penentu sama ada kerajaan negeri yang ada sekarang ini masih kekal atau sebaliknya. Para pemimpin ini ambil langkah berhati-hati kerana tidak mahu kerugian kalau tersalah pilih," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kota Kinabalu.
Tambah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Khidmat Komuniti UMS itu lagi, secara umumnya politik di negeri itu dalam aspek kerajaan negeri masih lagi stabil.
Ditanya juga mengenai senario kes saman-menyaman antara beberapa pemimpin di negeri ini, Dr Romzi menjelaskan perkara tersebut adalah lumrah atau rempah ratus dalam politik.
Katanya, senario itu tidak mengubah apa-apa sebaliknya hanya menambah kebencian dalam kalangan pemimpin dan rakyat.
"Saya yakin walaupun akhirnya ada pihak yang menang dan kalah, kesannya tidak signifikan kepada keadaan politik Sabah kerana kita masih melihat kepada apa yang berlaku di peringkat Pusat," katanya lagi.