Wakil rakyat perlu nilai khidmat kepada rakyat sebelum bertanding PRU15 - Syed Ali

Astro Awani
Disember 14, 2020 07:36 MYT
SYED ALI: Rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan kepimpinan negara yang berupaya membela nasib mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin politik terutamanya wakil-wakil rakyat perlu terlebih dahulu menilai sejauh mana khidmat bakti mereka terhadap pengundi di kawasan masing-masing, daripada sibuk mencatur 'peluang' untuk bertanding semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, mereka sewajarnya menyemak dan menilai apakah selama ini mereka telah benar-benar menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat dengan penuh tanggungjawab dan amanah.
"Saya mengingatkan demikian kerana melihat permasalahan dan kegetiran rakyat terutama di kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang begitu terkesan akibat pandemik wabak COVID-19 tetapi pemimpin politik masih juga sibuk berpolitik sepanjang masa.
"Keadaan menjadi semakin bercelaru, perit dan mendukacitakan apabila sesetengah pemimpin politik dilihat lebih mengutamakan agenda serta kepentingan kuasa politik peribadi melebihi permasalahan rakyat, sehingga turut ditegur oleh pihak istana," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.
BACA: Tukar MB bukan sejarah yang dibanggakan - Sultan Perak
BACA: Nasihat Sultan Nazrin tidak terbatas di Perak malah untuk Persekutuan juga - Anwar
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebelum ini bertitah, pelantikan Menteri Besar sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah satu cerminan kegagalan kepemimpinan ahli politik untuk mendapat sokongan padu dan bukannya satu kejayaan.
Baginda bertitah, keadaan itu bukan sejarah yang perlu dibanggakan dan sehubungan itu menggesa supaya kemelut kepemimpinan kerajaan negeri membabitkan jawatan Menteri Besar ditamatkan.
Dalam pada itu Syed Ali berpandangan, mana-mana pemimpin politik yang rakus, tamak haloba dan wakil-wakil rakyat yang berkepentingan serta gilakan kuasa, sewajarnya disingkir oleh pengundi pada PRU15 akan datang.
"Rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan kepimpinan negara yang berupaya membela nasib mereka," tegasnya.
Sultan Nazrin Shah sebelum ini turut bertitah, kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat.
#Sultan Nazrin Shah #PRU #rakyat #menteri #COVID-19 #kerajaan #pemimpin #wakil rakyat #bertanding #pilihan raya umum #Syed Ali Al-Habshee #sibuk berpolitik #politik #pengundi
;