Wakil rakyat pembangkang diarah keluar dewan, ingkar arahan Speaker

Bernama
November 19, 2015 23:14 MYT
Ngeh (gambar) diberi peluang menarik balik kenyataannya, namun enggan berbuat demikian, sebelum diarah keluar dewan dan digantung sehari daripada menghadiri persidangan DUN pada Khamis. - Gambar fail
Wakil rakyat pembangkang Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) diarah keluar dewan selepas mengingkari arahan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri SK Devamany agar menarik balik kenyataannya yang memperlekeh kewibawaan tugas beliau sebagai speaker.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang terbabit mengeluarkan kenyataan itu selepas rayuannya meminta masa tambahan dalam perbahasan bajet kerajaan negeri 2016, tidak dipedulikan.
Ngeh diberi peluang menarik balik kenyataannya, namun enggan berbuat demikian, sebelum diarah keluar dewan dan digantung sehari daripada menghadiri persidangan DUN hari ini.
Devamany membuat arahan itu mengikut Perintah Tetap 44 (2), iaitu pengerusi hendaklah memerintahkan mana-mana ahli yang berkelakuan haru-biru supaya keluar dengan serta-merta daripada dewan sehingga habis persidangan pada hari tersebut.
"Perbuatan Ngeh akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk tindakan lanjut," katanya.
Terdahulu, persidangan DUN kecoh apabila beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) meminta Ngeh menarik balik kenyataannya yang mendakwa kerajaan negeri dan kroni 'mencuri' wang rakyat berbilion ringgit.
Devamany menasihati Ngeh supaya bertanggungjawab dan perlu mempunyai asas terhadap kenyataannya itu.
"Saya ingatkan kepada Ahli Yang Berhormat agar tidak mengeluarkan perkataan yang boleh mencetuskan perbalahan seperti ini," kata Devamany.
Ngeh kemudian menarik balik perkataan 'mencuri' dan meminta masa tambahan kerana tempoh 20 minit diperuntukkan untuk berbahas, didakwanya tidak mencukupi berikutan kekecohan tersebut.
Beberapa wakil rakyat DAP antaranya Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Setiausaha DAP negeri, Wong Kah Woh serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, kemudian bertindak keluar dewan.
#ADUN #DAP #Ngeh Koo Ham #Perak #Sitiawan #SK Devamany #Speaker
;