Wakil rakyat GRS perlu buat penyampaian tepat dan jelas - Hajiji
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 15, 2020 21:12 MYT
Disember 15, 2020 21:12 MYT
KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu melengkapkan diri dengan maklumat terkini termasuk meningkatkan kefahaman mengenai polisi dan dasar di peringkat negeri serta nasional.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia penting bukan saja untuk memberi keyakinan kepada rakyat, tetapi menjadikan seorang ahli politik itu lebih disegani dan berwibawa.
“Dalam era kecanggihan informasi, apa juga perkara yang berlaku akan tersebar dan menjadi viral dengan begitu pantas dan luas.
“Kita juga perlu membuat penyampaian dengan jelas dan tepat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Apa yang kita bahaskan dan cara penyampaian serta penampilan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mendapat perhatian media dan menjadi perbualan rakyat,” katanya ketika merasmikan Konferen Backbenchers GRS di Kota Kinabalu pada Selasa.
Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Konferen itu anjuran Kelab Backbenchers GRS bersama Jabatan Perkhidmatan Negeri Sabah (JPAN) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).