Wakil rakyat DAP tidak capai KPI akan diganti - Anthony Loke

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 29, 2023 15:17 MYT
Anthony Loke Siew Fook, yang menjelaskan pihaknya sentiasa menilai wakil rakyat parti berkenaan. - Gambar fail
IPOH: Wakil rakyat DAP yang tidak mencapai tahap indeks prestasi utama (KPI) seperti yang diharapkan parti akan diganti dengan barisan pelapis.
Demikian peringatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang menjelaskan pihaknya sentiasa menilai wakil rakyat parti berkenaan.
“Kita kena ingat bahawa pada hari ini apabila kita diberi mandat yang begitu besar, harapan daripada rakyat juga sangat besar.
“Justeru itu seluruh kepimpinan dan keahlian DAP mesti terus berusaha bertungkus-lumus dan paling penting kita mesti mengingatkan diri untuk sentiasa berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen DAP Perak ke-22 di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi DAP Perak merangkap Menteri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Menurutnya, DAP mempunyai wakil di semua peringkat kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, kesemua mereka mesti memainkan peranan yang penting untuk memastikan dasar dan juga perjalanan kerajaan di semua peringkat lancar dan baik, seterusnya memberikan manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, itu adalah merupakan pengukur KPI dan objektif yang perlu dipenuhi oleh mereka.
“Yang paling penting yang mesti kita ingatkan diri kita setiap hari kerana apabila kita menggalas satu jawatan itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang mesti kita laksanakan untuk kebaikan negara, negeri dan rakyat.
“Anda telah diberikan amanah, diberikan peluang menjadi calon bagi pihak DAP.
“Kita mesti buat yang sebaik mungkin, jangan sesekali memalukan parti ini dengan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai calon dan wakil rakyat,” ujarnya.
Loke berkata, DAP mempunyai barisan pelapis yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai wakil rakyat.
Beliau memberi contoh, di Perak sahaja, selain wakil rakyat, terdapat juga 99 orang ahli majlis PBT di samping lebih 100 ketua kampung.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan kumpulan pelapis agar sentiasa bekerjasama dengan wakil rakyat sedia ada, bukannya bertanding melawan mereka.
“Setiap kali pilihan raya ada wakil rakyat yang hendak bersara ataupun mengundurkan diri akan ada peluang kepada pelapis-pelapis ini (menjadi calon),” tambahnya.
#wakil rakyat DAP #Anthony Loke #KPI #prestasi
;