Wakil pemimpin parti tiba di Istana Negara pagi ini

Hasimi Muhamad
Februari 29, 2020 10:30 MYT
Takiyuddin dan Abdul Hadi tiba dalam satu kenderaan memasuki Istana Negara pagi ini. Astro AWANI/HASIMI MUHAMAD
Beberapa wakil pemimpin parti politik tiba di Istana Negara pada pukul 10 pagi ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini.
Mendahului ialah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tiba dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam.
Turut kelihatan, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berkenan dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.
Justeru, Istana Negara akan menghubungi ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat.
Ia bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri ke-8.
Terdahulu, Bernama melaporkan, Muhyiddin mengesahkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini.
"Tujuan kami adalah untuk berusaha sebaik mungkin bagi menyelamatkan apa yang sedang dihadapi (situasi politik) di negara ini," katanya kepada pemberita sebelum bertolak ke Istana Negara dari kediamannya di Bukit Damansara di sini.
Beberapa ahli politik dan presiden parti turut kelihatan bersamanya termasuk Abdul Hadi, Mohamed Azmin, Takiyuddin, Annuar dan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.
"Tujuan kita adalah ikhlas dan kita minta seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan usaha yang kita buat ini akan diberikan sokongan dan doa untuk berjaya, saya harap mudah-mudahan akan dikabulkan oleh Allah," tambahnya.
#Abdul Hadi Awang #Annuar Musa #calon perdana menteri #Istana Negara #Malaysia2020 #Muhyiddin Yassin #PAS #Perdana Menteri ke-8 #PM8 #Takiyuddin Hassan #UMNO #Yang di-Pertuan Agong
;