Wajah 'dikafirkan', Ahmad Maslan mahu pelaku diambil tindakan

Hasimi Muhamad
Mei 24, 2023 16:25 MYT
Ahmad berkata, tindakan memuat naik gambarnya dengan wajah khinzir bersama tulisan 'kafir' disifatkan sebagai sangat melampau. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab membuat tuduhan jelik dengan mendakwa dirinya 'kafir'.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, tindakan memuat naik gambarnya dengan wajah khinzir bersama tulisan 'kafir' disifatkan sebagai sangat melampau.
Susulan tindakan tersebut, Ahmad berkata beberapa pihak termasuk Pemuda UMNO telah membuat laporan polis di Sabah dan Pontian, Johor.
"Saya sebenarnya banyak kali dikecam sebelum ini di media sosial tetapi tak pernah saya membuat laporan polis, dan saya juga pada kali ini tidak meminta sesiapa membuat laporan (polis).
"Walau bagaimanapun, atas kehendak mereka (individu yang membuat laporan polis) sendiri, mereka membuat laporan polis kerana terlampau sangat yang dilakukan mengubah muka saya (kepada) khinzir dan menulis perkataan 'kafir' di atas wajah itu.
"(Pelakuan itu) hanya kerana saya membuat satu kenyataan hasil daripada pertanyaan pihak media pada Jumaat lepas.
"Saya kira pihak polis tentunya akan menyiasat perkara itu dan laporan terhadap SKMM telah dibuat mengenai pemilik akaun berkaitan sama ada ia akaun palsu atau tidak, tentu ada pengendalinya atau organisasi tertentu.
"Saya harap ia diambil tindakan oleh polis dan SKMM. Saya tak mahu menyalahkan sesiapa tetapi benda yang tak baik itu perlu dihentikan.
"Ia boleh berlaku kepada saya, maka ia juga boleh berlaku kepada orang lain.
"Kita mahukan keharmonian dalam berpolitik di negara kita," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.
Jelas Ahmad, seseorang tidak boleh mengkafirkan dirinya hanya kerana meminta ahli UMNO menyokong DAP atas nama gabungan parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Tambah beliau, tindakan yang dilakukan oleh pihak berkenaan juga melambangkan kerendahan ilmu mereka.
"Saya pernah maklumkan bahawa Pas pernah bersama DAP ketika gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini.
"Parti Bersatu juga pernah bersama DAP, dan Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) pernah menyebut undi calon DAP.
"Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga meminta undi calon DAP tetapi kami tidak pernah mengkafirkan mereka.
"Ia tiada kaitan dengan akidah pun apabila DAP telah menandatangani Deklarasi Malaysia pada 2019, mereka memperakui empat perkara iaitu Islam, Melayu, Raja dan bahasa.
"Sekali lagi apa yang saya sebut sebelum ini saya kata, bukan atas nama DAP tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan kita saling bantu membantu antara satu sama lain," katanya lagi.
Terdahulu, beberapa akaun di Facebook yang tidak diketahui pemilik sebenarnya didakwa memuat naik gambar Ahmad yang ditukar wajahnya menjadi khinzir dengan tulisan 'kafir'.
#Ahmad Maslan #Muka Ahmad Maslan dikafirkan #Muhyiddin Yassin #Politik Malaysia
;