Wahai 'watak' batu api dalam PKR, ini amaran Saifuddin buat kalian...
Rahimah Abdullah
Julai 17, 2022 11:19 MYT
Julai 17, 2022 11:19 MYT
SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap 'watak’ batu api yang cuba memecah-belahkan parti tersebut.
Amaran itu disuarakan bekas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap individu yang cuba menabur fitnah bagi membangkitkan kemarahan sesama anggota.
"Kalau ada sampai buat siarannya, dengan senang hati tanpa rasa bersalah. Kita bagi amaran kepada watak ini, kalau nak jadi pemecah belah dalam parti, kita akan lakukan tindakan yang sewajarnya.
"Apa guna menabur fitnah untuk membangkitkan kemarahan sesama kita. Semua masih hidup lagi, pergi tanya keputusan siapa (pemilihan parti).
"Kalau kami menang dalam pemilihan ini akar umbi yang sokong kami, tetapi kalau kalah itu campur tangan Presiden, tidak ke jahat namanya (dakwaan itu)," katanya semasa berucap pada Kongres Nasional Keadilan ke-16 di sini, pada Ahad.
Dalam masa sama, Saifuddin menegaskan, rasa sayang dan hormat beliau terhadap Timbalan Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli tidak akan berubah walaupun ada pihak yang cuba melaga-lagakan mereka.
"Rafizi telah terpilih sebagai Timbalan Presiden dan dia ada tugas besar. Datuk Seri Anwar pun ada tugas lebih besar, barisan kepimpinan baharu juga begitu.
"Kalau kita boleh gembleng kekuatan bersama, yakinlah PRU (pilihan raya umum) ini akan jadi milik kita," tambah Saifuddin lagi.
Dalam pada itu, Saifudin berkata, presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi mempunyai peranan yang besar dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Malah, calon paling sesuai untuk jawatan Perdana Menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Saifuddin.