Wacana hala tuju negara pasca 2020 mulai tahun depan - Najib
Harits Asyraf Hasnan
Disember 12, 2015 18:04 MYT
Disember 12, 2015 18:04 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak mahu seluruh rakyat mula berbincang menentukan hala tuju negara selepas tahun 2020 mulai tahun depan.
Katanya, beliau mahu wacana itu diterajui oleh UMNO dan Barisan Nasional serta melibatkan banyak pihak termasuk masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kita akan sampai 2020 dan maknanya lepas 2020 apa bentuk negara Malaysia? Saya hendak mulakan wacana ini tahun depan," kata Najib semasa menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015.
Antara lain Najib menyatakan komitmen untuk terus menerajui rakyat Malaysia ke arah menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing.
Ujar beliau, warga Malaysia perlu berani melangkah jauh lebih dari yang biasa dan menjadi hebat di pentas antarabangsa.