Video seks: Bibit perpecahan dalam PKR - Khairuddin

Astro Awani
Jun 18, 2019 15:00 MYT
KHAIRUDDIN: Video itu dibuat anggota PKR sendiri yang terang berniat untuk menjatuhkan Menteri Kabinet berkenaan selain bukan dilakukan ahli UMNO mahupun Pas. - Gambar Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Isu video lucah yang didakwa mengandungi aksi seks luar tabii individu mirip seorang menteri jelas menunjukkan berlakunya bibit perpecahan dalam PKR.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sekali gus menegaskan, ia dibuat anggota PKR sendiri yang terang berniat untuk menjatuhkan individu berkenaan, dan bukan dilakukan ahli UMNO mahupun Pas.
"Sebagai manusia, secara lumrahnya sudah pasti unsur spekulasi akan terbuku di dalam lubuk hati menteri berkenaan kerana dia adalah mangsa fitnah jahat.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Orang luar senang untuk mengungkapkan apa sahaja kata-kata tetapi yang menanggungnya serta terkesan dengan perbuatan konspirasi ini adalah individu berkenaan.
"Seandainya fitnah jahat ini melanda diri saya, sudah pasti secara spontan akan membuat spekulasi untuk mencari punca motif seterusnya bagi mengambil pendekatan berhati-hati dengan semua musuh politik yang berada di sekeliling kita.
"Ini tidak salah dan ini juga adalah sebahagian dari resam manusia. Sama ada kita setuju atau tidak, sesiapa yang kena pasti akan membuat pelbagai kesimpulan mahupun spekulasi," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
BACA: Video seks kontroversi ditularkan oleh anggota PKR sendiri - Azmin
BACA: Video intim: Bukan dibuat pihak UMNO - Khairuddin
Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin penularan video seks kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya, dilakukan oleh pihak dalaman parti.
Dalam pada itu kata Khairuddin, dalam apa juga situasi, Mohamed Azmin tidak perlu melayan isu berkenaan dan harus fokus pada tanggungjawab kerja bagi membina semula negara.
"Melayani isu jahat ini membawa erti kita mengiktiraf perbuatan jahat dari kalangan mereka yang bermain politik kotor bagi memusnahkan karier politik seseorang pemimpin.
"Dalam isu ini juga saya amat yakin Mohamed Azmin kuat serta tabah menghadapinya kerana dia adalah seorang tokoh pemimpin yang terlalu banyak melalui ujian asam garam dalam arena politik," jelasnya.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR juga yakin penularan video kontroversi itu merupakan agenda politik pihak tertentu yang bertujuan mahu menyekat kemaraan dan prestasinya dalam kerajaan serta bidang politik.
Mohamed Azmin turut menegaskan akan memberikan keutamaan dan kerjasama penuh kepada polis untuk menyiasat penularan video seks kontroversi itu malah menyifatkan dakwaan yang dikaitkan dengannya sebagai kejam serta jahat.
#Azmin Ali #ekonomi #fitnah #kabinet #kerajaan #Parlimen #PAS #PKR #polis #politik #seks #UMNO #video
;