Video jelik, budaya kotor perlu dihentikan segera - Ahmad Fadhli

Sinar Harian
November 18, 2023 13:05 MYT
Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan perlu segera melakukan siasatan secara telus dan menangani isu tersebut dengan cepat bagi menjernihkan keadaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perbuatan merakam video jelik dan budaya kotor dalam jabatan atau agensi kerajaan perlu dihentikan segera bagi mengelakkan penyebaran aib individu tertentu.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan perlu segera melakukan siasatan secara telus dan menangani isu tersebut dengan cepat bagi menjernihkan keadaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengulas, jika kandungan video itu benar, ia merupakan perbuatan jenayah yang sangat jijik membabitkan individu berjawatan dalam agensi kerajaan.
“Saya tidak berminat untuk mengulas berhubung penyebaran video jelik membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dua hari lepas kerana ia 'isu peribadi'.
“Setelah mendengar sidang media dibuat oleh dua individu terbabit sebagai watak dalam video berkenaan, ternyata ia perkara yang perlu ditangani secara undang-undang.
“Adakah wang pembayar cukai untuk membayar gaji dan elaun lantikan politik di dalam kerajaan sedang digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti jahat seperti ini?
“Sekiranya mereka yang terbabit berjaya membuktikan bahawa ada elemen permainan kotor khususnya dalam lantikan politik, tindakan wajib perlu diambil oleh kerajaan bagi membersihkan agensi berkaitan daripada tuduhan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pada Jumaat, Penolong pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama Mr H untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM, Mohammad Agus.
Abdul Wahab berkata, komplot itu didalangi oleh Mr H yang merupakan antara individu berjawatan tinggi dalam J-KOM.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, terdapat juga pihak yang menyalahkan pembangkang di atas isu peletakan jawatan Mohammad Agus.
Ujarnya, perkara tersebut tiada kaitan sama sekali dengan pihak pembangkang.
“Berapa banyak lagi video yang sedang dalam pembikinan menunggu masa untuk disebar bagi menjatuhkan sesama sendiri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN)?” katanya. - Sinar Harian
#rakaman panggilan video #Wahab #agus #Perikatan Nasional
;