Video intim: Karier politik Azmin semakin kuat - Khairuddin
Astro Awani
Julai 5, 2019 16:57 MYT
Julai 5, 2019 16:57 MYT
Kedudukan politik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini semakin kuat disebabkan simpati rakyat terhadap tohmahan video seks yang dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, majoriti rakyat kini sudah tidak dapat menerima pendekatan politik kotor yang dilakukan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz itu.
"Haziq tanpa sekelumit pun perasaan malu terus melipat gandakan daya usaha untuk mensabotaj seterusnya mematikan karier politik Mohamed Azmin.
"Pada hemat saya, selagi Haziq mengeluarkan kenyataan, maka selagi itulah ia akan memakan dirinya sendiri. Dia nampak bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan masa depan politik Mohamed Azmin.
"Sebab itu dari awal lagi saya katakan ini konspirasi dalaman PKR itu sendiri. Bukan kerja-kerja orang luar," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu kata Khairuddin, isu video seks palsu itu tidak akan ada penyudahnya.
"Selepas ini akan ada pihak tertentu menularkan, seterusnya memainkan video-video lama membabitkan tokoh-tokoh pemimpin lain yang pernah berlaku sebelum ini.
"Kalangan ini juga sudah pasti akan memohon pihak penguatkuasa undang-undang mengkaji atau melakukan siasatan forensik sama ada video-video tersebut juga tulen atau tidak.
"Buat masa ini, Mohamed Azmin tidak harus melayan puak-puak yang berdengki dengannya di dalam arena politik. Apa yang harus dilakukan olehnya ialah terus menumpukan kepada kerja-kerja selaku menteri untuk membina semula negara yang dirosakkan secara teruk oleh kerajaan kleptokrasi," ujarnya.
Tegas Khairuddin lagi, Polis DiRaja malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM harus mencari formula baru untuk menyekat penyebaran video-video seumpama ini agar politik negara tidak dibelenggu dengan perbuatan jahat pihak yang mahu mensabotaj karier tokoh pemimpin politik.
"Penguatkuasa undang-undang di negara kita harus menangani budaya tidak sihat ini agar ianya tidak akan menjadi satu trend untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin politik secara tidak demokratik
"Sesiapa sahaja yang mengeluarkan dan menularkan video-video lucah ini mesti ditangkap, dihadapkan ke muka pengadilan dan dihukum secara tegas.
"Kita tidak boleh membiarkan budaya ini menapak kuat dalam arena politik tanah air. Seandainya kita tak mahu jadi bodoh seperti pihak berkenaan, maka janganlah sama sekali melayani kerenah mereka," jelasnya,
Katanya lagi, lagi banyak Mohamed Azmin diasak serta difitnah, maka bertambah kukuh kedudukan politiknya kerana faktor simpati dari keseluruhan masyarakat khususnya Melayu.
#Azmin Ali
#Haziq Abdullah Abdul Aziz
#Khairuddin Abu Hassan
#Melayu
#Menteri Hal Ehwal Ekonomi
#Parlimen
#PDRM
#PKR
#Polis Diraja Malaysia
#siasatan
#SKMM
#video intim
#video lucah
#video seks