Video 'Bersatu seperti UMNO' itu cerita lama - Shafie Apdal
Ruzaini Zulkepli
Ogos 22, 2019 20:40 MYT
Ogos 22, 2019 20:40 MYT
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan video mengenai kenyataannya menyamakan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) dengan UMNO adalah 'cerita lama'.
Sebuah video yang berdurasi 2 minit 11 saat itu difahamkan tular di beberapa blog dan media sosial sejak semalam.
Difahamkan video tersebut menunjukkan seorang wanita yang sedang berbincang dengan Mohd Shafie di sebuah lokasi di Sabah.
Didalam perbincangan berkenaan, mohd shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dikatakan ada menyebut mengenai perihal Bersatu di Sabah.
“Itu cerita lama, video lama. Yang dahulu kita dah (adakan) permuafakatan supaya Bersatu tidak masuk ke Sabah.
“Kerana waktu itu ada ahli-ahli parti kita yang ragu dan bimbang, dan nak keluar kerana nak jawatan. Itu cerita lama sebenarnya, jadi hari ni Bersatu sudah ada di Sabah, dan kerjasama di peringkat negeri Sabah,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran ‘KK Moving Forward’ dan penyampaian watikah pelantikan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di Kota Kinabalu, pada Khamis.
Kenyataan Mohd Shafie itu sekali gus mendedahkan video itu berlaku sebelum kemasukan bersatu di Sabah.
Untuk rekod, Bersatu melebarkan sayapnya di Sabah pada 6 April lalu dengan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri merasmikan pelancaran parti berkenaan di negeri ini.
Sebelum ini, senario politik di Sabah sedikit bergolak susulan pentabdiran kerajaan yang diteraju oleh Warisan tidak bersetuju dengan kemasukan Bersatu di Sabah dengan alasan satu perjanjian dimeterai untuk parti nasional itu tidak memasuki negeri tersebut.
Bagaimanapun, pergerakan membawa masuk Bersatu yang diketuai oleh bekas wakil rakyat UMNO, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor akhirnya berjaya dengan secara rasminya pada 6 April lalu.
#Bersatu seperti UMNO
#cerita lama
#DBKK
#Dewan Bandaraya Kota Kinabalu
#Hajiji Mohd Noor
#Ketua Menteri Sabah
#KK Moving Forward
#Mahathir Mohamad
#Mohd Shafie Apdal
#Parti Bersatu Pribumi Malaysia
#Parti Warisan Sabah
#Sabah
#Warisan