Veteran UMNO rasa terhina dengan tindakan Dr Mahathir

Bernama
April 3, 2016 17:21 MYT
TAJOL: Sayang dan hormat kami terhadap Tun Mahathir kini bagaikan berkecai. - Gambar fail
Veteran UMNO hari ini melahirkan rasa terluka dan terhina berikutan tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang semata-mata bagi merealisasikan hasrat untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Veteran UMNO Malaysia Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkata amat sukar untuk veteran UMNO menerima hakikat dengan hati terbuka kerana negarawan tersohor itu sanggup menggadaikan maruah diri bersekongkol dengan pihak yang selama ini memusuhi beliau.
"Sayang dan hormat kami terhadap Tun Mahathir kini bagaikan berkecai. Dengan rasa sungguh berat hati, saya ucapkan jua pernyataan ini "sorry sir, it's not that we love you less, but we love UMNO much more (maaf tuan, bukannya kami tidak menyayangi anda, namun kami lebih menyayangi UMNO)," katanya pada himpunan Veteran UMNO Perak di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.
Pada himpunan yang pertama kali diadakan di negara ini, kira-kira 1,000 veteran UMNO Perak mengisytiharkan akujanji sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Turut hadir Menteri Besar dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Veteran UMNO Perak Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir.
Merungkai kecelaruan
Mohd Tajol berkata apa yang membimbangkan veteran UMNO ialah kalau yang diserang ialah Najib tetapi yang rebah adalah UMNO.
"Atas kebimbangan ini, veteran UMNO mengambil inisiatif mengadakan himpunan ini untuk cuba merungkai pelbagai kecelaruan yang timbul daripada percubaan Tun Mahathir menyingkirkan Najib melalui pendekatan yang jelas tidak demokratik.
"Apa pun hak beliau sebagai rakyat, hak kita sebagai warga UMNO yang sayangkan parti, tidak harus dijadikan gadaian untuk memenuhi cita rasa politik mana-mana pihak yang gendang dan tarinya tidak lagi senada, mahu pun serentak dan senada dengan jiwa dan semangat UMNO," katanya.
Katanya selera dan gaya kepimpinan boleh bertukar mengikut musim tetapi kelangsungan hayat UMNO perlu dipertahankan dengan apa jua cara.
Beliau berkata sepanjang tempoh 22 tahun Dr Mahathir menerajui kepimpinan UMNO beliau juga terpaksa melalui beberapa ujian yang getir tetapi anggota UMNO tetapi setia dan patuh kepada pemimpin.
"Ketika itu, warga veteran turut mengalami beberapa detik dan peristiwa cemas yang membimbangkan antaranya kisah perebutan kuasa yang amat sengit pada 1987, iaitu peristiwa pahit apabila UMNO diharamkan.
"Kemelesetan ekonomi dan krisis kewangan yang amat parah pada 1997, kemelut politik ekoran penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO dan juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan," katanya.
Oleh kerana sifat setia kepada pucuk pimpinan dan rela berkhidmat demi kepentingan bersama, telah menyelamatkan serta meneruskan kelangsungan UMNO, katanya.
Ukur baik buruk
Bagaimanapun, beliau yakin dan percaya bahawa warga veteran tahu mengukur buruk baik tindakan Dr Mahathir kerana warga veteran telah bersama dengan beliau yang menerajui UMNO selama 22 tahun.
Sementara itu, Zambry ketika ditemui pemberita turut menyatakan penghargaannya kepada anggota veteran UMNO yang masih tetap memberi sokongan kepada parti ketika ia sedang melalui ujian pada ketika ini.
"Dengan dokongan yang ditunjukkan pada hari ini, saya percaya bahawa kekuatan UMNO di Perak adalah contoh yang terbaik di mana parti sentiasa menjadi keutamaan kita.
"Sebab itu, jarang sekali kita mendengar masalah di Perak yang melibatkan krisis-krisis politik bahagian dan politik negeri kerana kita sentiasa mengutamakan perpaduan dalam kalangan anggota parti dan juga pimpinan parti," katanya.
#Dr Mahathir #tajol rosli #UMNO
;