Veteran politik cipta krisis semasa COVID-19 diselar

Fauzi Suhaimi
Oktober 16, 2020 15:54 MYT
Meskipun Wan Saiful tidak menamakan siapa ahli politik itu namun ia berkemungkinan merujuk kepada Anwar dan Ahli Tengku Razaleigh. - Bernama
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyelar sikap dua ahli politik veteran yang didakwa cuba mencipta krisis baharu tatkala Perdana Menteri bersungguh-sungguh menjaga kebajikan dan nasib rakyat.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, kedua-dua pemimpin itu sudah lama mengidam mahu menjadi Perdana Menteri dan ada juga ahli politik yang ingin mengambil peluang membawa undi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya faham ada ahli politik tertentu yang memang mahu merebut kuasa politik tetapi sekarang bukan waktu untuk berkelakuan sebegitu dan saya yakin tindakan mereka bertentangan dengan apa yang dikehendaki oleh majoriti rakyat kini.
“Sepatutnya kita memerangi COVID-19 dengan mewujudkan kesatuan politik rentas parti bukan mencipta perpecahan untuk faedah peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu ahli politik bermuhasabah dan tidak lagi mengheret negara ke kancah politik yang tidak menentu terutama dalam kemelut penularan COVID-19.
BACA: Anwar dakwa ada sokongan lebih 120 Ahli Parlimen, mohon Agong diberi ruang dan masa
BACA: Tengku Razaleigh gesa Dewan Rakyat bahas Usul Tidak Percaya
BACA: Gerakan Ku Li raih lebih majoriti, pinggir Anwar, 'UMNO' bermasalah?
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, Perdana Menteri telah menunjukkan contoh terbaik dengan memberi fokus kepada menjaga nasib rakyat dan memastikan ekonomi negara dibina dengan penuh integriti.
“Fokus ahli-ahli politik hari ini juga sepatutnya adalah kebajikan rakyat bukan berebut jawatan atau sengaja merosakkan kestabilan dan ekonomi negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua ahli Bersatu untuk terus mengambil langkah-langkah dalam membina dan menjada perpaduan ummah yang wujud hari ini.
"Kita tunjukkan contoh akhlak politik yang baik kerana rakyat sedang menilai adakah kita benar-benar mahu berkhidmat atau ada kepentingan lain," ujarnya.
#Anwar Ibrahim #Muhyiddin Yassin #Tengku Razaleigh Hamzah #PPBM #Wan Saiful Wan Jan #PKR #Parti Keadilan Rakyat #Perdana Menteri #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #COVID-19 #politik
;