Utamakan kepentingan negara daripada kepentingan peribadi - KPN

Afiezy Azaman
Februari 25, 2020 05:42 MYT
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis akan terus awasi perkembangan politik secara dekat.
Polis menyeru semua pihak agar berfikir dan bertindak secara waras dengan mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan sempit peribadi ketika suhu politik tanah air semakin hangat sejak mutakhir ini.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pihaknya akan terus mengawasi perkembangan politik tanah air secara dekat bagi mengesan sekiranya terdapat usaha dan perancangan individu atau kumpulan berkepentingan yang mahu menggugat keharmonian negara.
“Hak kebebasan berpolitik sebagaimana diperuntukkan oleh perlembagaan tetap akan dihormati dan dipelihara oleh PDRM.
“Setakat ini keadaan seluruh negara tenang, walaupun ada aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada usaha menguatkan kedudukan parti-parti politik,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Abdul Hamid ditanya mengenai perkembangan suhu politik tanah air yang semakin hangat dibincangkan di pelbagai peringkat seluruh negara.
Ini susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan dan tindakan 11 pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti semalam (Isnin).
Abdul Hamid berkata, pihak polis sentiasa berada dalam keadaan siap-sedia menjaga ketenteraman dan keselamatan negara.
#berfikir #Bersatu #individu #kepentingan negara #Ketua Polis Negara #kumpulan #Pakatan Harapan #parti #Parti Keadilan Rakyat #PDRM #Perdana Menteri #polis #politik #sempit peribadi #suhu politik #Tan Sri Abdul Hamid Bador #Tun Dr Mahathir Mohamad #waras