Usul undi percaya: Pembangkang gesa sidang khas Parlimen sebelum 9 Ogos
Astro Awani
Ogos 4, 2021 17:15 MYT
Ogos 4, 2021 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Blok Pembangkang bersependapat bahawa satu mesyuarat khas Parlimen mesti diadakan sesegera mungkin dan tidak lewat dari 9 Ogos.
Menerusi satu kenyataan bersama, mereka berkata mesyuarat khas di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3) itu adalah untuk membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.
“Kami tidak boleh menerima isu sokongan terhadap Perdana Menteri ini ditangguhkan sehingga bulan September.
“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah Kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen.
“Ini kerana kami mengambil kira keadaan pandemik yang terus mencengkam rakyat, jumlah kematian akibat wabak COVID-19 yang terus meningkat begitu tinggi setiap hari, situasi ekonomi yang terus lesu dan persoalan kestabilan kerajaan yang mesti diselesaikan sekarang,” memetik kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh tiga pemimpin utama Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).
Turut bersama mengeluarkan kenyataan itu adalah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO), Baru Bian (PSB), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) dan Maszlee Malik (Bebas)
Justeru, mereka berpendirian bahawa usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan segera sekali gus menamatkan isu keabsahan Perdana Menteri.
#usul undi percaya
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#Dewan Rakyat
#Sidang khas Parlimen
#Mesyuarat Khas Parlimen
#Pakatan Harapan
#Pejuang
#Warisan
#blok pembangkang
#gesa sidang khas
#Anwar Ibrahim
#Lim Guan Eng
#COVID-19
#Mukhriz Mahathir
#Mohd Shafie Apdal