Usul undi percaya bukan perkara janggal - Speaker DUN Perak

Aida Aziz
November 30, 2020 12:40 MYT
Usul undi percaya terhadap Faizal Azumu bukanlah sesuatu yang janggal. -Gambar fail
IPOH: Usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang akan dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Manaf Hashim pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, bukanlah suatu perkara yang janggal.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menjelaskan bahawa usul yang dibawa oleh ADUN Pengkalan Baharu itu tidak melanggar peraturan Dewan dan pernah dibawa dalam Dewan Rakyat sebelum ini.
"Setakat ini kalau ikut usul memang ada bahas kecuali kalau pada hari tersebut kita berfikiran sebaliknya atau ada permintaan sebaliknya.
"Ini (usul percaya) memang ada, kalau kita tengok di Dewan Rakyat pun ada usul percaya kan, kalau tak salah saya parti Pas rasanya pernah bawa usul percaya kepada Perdana Menteri sebelum ini.
"Ini bukan satu inovasi baharu atau kejanggalan mahupun di luar tabii, ia memang ada dalam amalan Dewan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Sebelum ini menerusi satu surat bertarikh 18 November, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim menyatakan bahawa Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat DUN.
Justeru beliau memohon membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan di bawah Perintah-Perintah Tetap 26 (1) dibawa bersama Perintah Tetap 27(3) Dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 negeri Perak akan diadakan selama lima hari bermula 4 hingga 11 Disember.
#Menteri Besar #Ahmad Faizal Azumu #Barisan Nasional #DUN Perak #Mohammad Zahir Abdul Khalid #Dewan Rakyat #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Bersatu #PAS #Abd Manaf Hashim
;