Usul tidak percaya: 'Muhyiddin, serahkan semula hak rakyat' - Tun Mahathir

Fareez Azman
September 9, 2020 13:51 MYT
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyiarkan usul tidak percaya di laman Facebook dan blognya pada Rabu. Gambar: Fail
Selepas gagal membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mempertikaikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya 'mencabul' sistem dan aturan Perlembagaan Negara.
Jelasnya, tindakan itu diambil selepas kecewa usul berkenaan tidak dibahaskan di Parlimen.
“Usul kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam Dewan.
“Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam Parlimen, maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog saya untuk tatapan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di Facebook dan chedet.com.
Dalam usul itu, Dr Mahathir antara lain menyenaraikan puluhan sebab usul terbabit dibuat terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu termasuk mendakwa pelantikan Perdana Menteri tanpa Pilihan Raya Umum (PRU) menghilangkan kepercayaan dan hak rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka.
“Yang jelas ialah suara rakyat tidak mempunyai nilai di Malaysia lagi. Kerana melalui pintu belakang parti yang ditolak oleh rakyat boleh jadi kerajaan. Rakyat tertipu dengan cara ini.
“Apa gunanya PRU jika yang ditolak oleh rakyat boleh mendirikan kerajaan dan yang dipilih oleh mereka dijatuhkan dengan penipuan. “Inilah sebab utama yang saya kemukakan usul tidak percaya kepada YAB Tan Sri dari Pagoh sebagai Perdana Menteri," katanya.
Beliau turut mendakwa kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin merampas hak rakyat yang mengundi pada pilihan raya umum lalu.
“Seperti yang Tan Sri sendiri mengaku kerajaan Tan Sri bukanlah kerajaan pilihan rakyat. Ia adalah hasil dari penipuan terhadap rakyat yang bersusah-payah datang dari jauh dan dekat untuk mengundi.
“Kita tidak perlu undang-undang untuk menghalang penipuan seperti ini. Kita harap orang politik di Malaysia mempunyai moral yang tinggi dan menolak rasuah dan penipuan.
"Jika tidak, maka akan hancurlah negara kerana akan diperintah oleh penyangak dan penyamun,” katanya.
Dalam usul itu juga, Dr Mahathir turut mencadangkan agar kerajaan Perikatan Nasional menyerah balik kuasa kepada yang berhak.
#Dewan Rakyat #Facebook #Mahathir Mohamad #mandat rakyat #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Perdana Menteri #Perlembagaan Negara #Pilihan #PRU #rakyat #undang-undang
;