Usul SOSMA gagal: PM belum hilang kepercayaan - Anthony Loke
Hasimi Muhamad
Mac 24, 2022 13:57 MYT
Mac 24, 2022 13:57 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak hilang kepercayaan kerana kegagalan Dewan Rakyat meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada Rabu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata isu SOSMA tidak dirunding antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) ketika memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September tahun lalu.
"Tetapi adakah bermaksud usul SOSMA itu ditolak maka YB Bera (Ismail Sabri) hilang kepercayaan?Jawabnya tidak.
"Obligasi kita ialah meluluskan Belanjawan 2022 yang kita telah panggil belah bahagian sepanjang perbahasan tahun lepas.
"Kalau sekarang siapa-siapa pertikaikan atau ada persoalan bahawa Bera sudah hilang kepercayaan, bawalah satu usul kepercayaan, kita akan berkecuali dan pasti usul kepercayaan itu diluluskan. Jadi soal usul kepercayaan itu tidak timbul sama sekali," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022.
Mengulas lanjut, Loke berkata kegagalan meluluskan usul SOSMA disifatkan satu kemenangan kepada Parlimen kerana tidak semua usul yang dibawa oleh badan eksekutif boleh diluluskan.
Jelas beliau lagi, usul tersebut ditolak juga berpunca daripada ketidakhadiran Ahli Parlimen dari blok kerajaan sendiri.
"Semalam sebenarnya saya pun tak jangka kerajaan akan gagal dalam usul tersebut sebab kerajaan tidak hilang majoriti.
"PIhak kerajaan ada 114 atau 115 Ahli Parlimen, (tetapi) yang hadir di pihak kerajaan hanya 84 orang (dan), kita (blok pembangkang) 86. Ada 30 yang tak hadir...
"Jadi yang gagalkan usul itu, (jangan) persalahkan kita, yang gagalkan usul tersebut adalah dalam 30 Ahli Parlimen dari blok kerajaan yang tak hadir. Ia termasuk Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Pontian (Datuk Ahmad Maslan) dan sebagainya.
",,, yang hadir saya tengok Padang Rengas yang pertahankan kerajaan (dan juga) Jempol," ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama Loke (PH-Seremban) turut membidas Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang mendakwa MoU antara PH dan kerajaan telah terbatal susulan daripada kegagalan meluluskan usul SOSMA.
Dewan Rakyat semalam gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.
Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.