Usah terbuai dengan kemenangan PRK Kuala Kangsar

Bernama
Ogos 4, 2016 08:36 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Kesyukuran dan Jamuan Aidilfitri UMNO dan Barisan Nasional Perak di Dewan Jubli Perak malam tadi. - Foto Bernama
Semua pihak dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya leka dan terbuai dengan kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar Jun lalu, demikian pesanan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini kerana terdapat banyak pihak yang sememangnya tidak senang melihat kejayaan parti itu dan sentiasa berusaha untuk menggugatnya.
"Saya menasihati diri saya dan semua pihak dalam UMNO dan BN supaya jangan terbuai dengan kemenangan ini kerana strategi dalam PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU) berbeza, senario politik juga berbeza.
"Rasa terbuai ini harus diketepikan walaupun kita rasa seronok dengan kemenangan ini kerana untuk menempahnya sukar, tapi untuk mempertahankannya itu lebih sukar," katanya ketika berucap pada majlis pada majlis kesyukuran dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO/Barisan Nasional negeri Perak di sini malam tadi.
Dalam PRK Kuala Kangsar 18 Jun lalu, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu setelah menewaskan tiga calon lain dengan memperoleh majoriti 6,969 undi.
Mastura, 55, yang juga isteri Allahyarham bekas anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad memperoleh 12,653 undi menewaskan calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad yang mendapat 5,684; calon Parti Amanah Negara Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883) dan calon bebas Izzat Bukhari Ismail Bukhari (54).
Jelas Ahmad Zahid, putaran politik semakin berbeza setiap masa dan ia menuntut semua pihak dalam parti sama ada UMNO atau BN terus berusaha untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU14 yang mungkin diadakan selewat-lewatnya dua tahun lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata cara terbaik untuk mendepani semua cabaran itu adalah dengan memiliki kesatuan pemikiran, hati nurani serta tindakan.
"Saya merasakan bahawa semua daya tahan dan daya saing yang ada pada kita sukar diterjemahkan, Tapi kita yakin, kita berada dalam wadah yang kukuh," katanya.
Selain itu, timbalan perdana menteri turut mengingatkan kepimpinan UMNO dan BN di Perak supaya membimbing dan membantu Mastura dalam menjalankan tugas sebagai Anggota Parlimen sekali gus memastikan kerusi Kuala Kangsar kekal milik BN pada PRU14.
Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 10,000 orang itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir atas kerja keras dalam PRK Kuala Kangsar.
"Saya yakin Zambry dan UMNO akan dapat menempah kejayaan dalam PRU akan datang kerana beliau ikhlas bekerja selain mempunyai daya tahan yang cukup tinggi," katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.
#ahmad zahid #Barisan Nasional #PRK Kuala Kangsar #Timbalan Perdana Menteri #UMNO
;