Usah pertikai kelayakan Mat Sabu

Sinar Harian
Mei 14, 2018 13:54 MYT
Mahfuz (kiri) berharap orang ramai tidak mempertikai kelayakan barisan kabinet Harapan, terutama jawatan yang diberikan kepada Mat Sabu (kanan) memandangkan pemilihan dibuat secara teliti.
Nama Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu menjadi bualan ramai dan paling trending di media sosial sejak diumumkan sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet diterajui Pakatan Harapan.
Sebelum ini Mat Sabu sering menjadi pelaris di pentas ceramah seluruh negara yang gemarkan gaya ucapannya yang bersahaja, diselang seli lawak jenaka, malah membongkar cerita-cerita panas setiap kali turun padang.
Walaupun dilabel ahli politik kampung dengan gaya orang lama, tanpa memiliki imej sebagai pemimpin peringkat nasional, Mat Sabu kini membuktikan beliau bukan sekadar memanaskan pentas ceramah apabila diberikan tugas penting bawah portfolio Menteri Pertahanan.
Ramai yang teruja dan tidak sabar untuk melihat Mat Sabu dalam pakaian lengkap pegawai tentera, namun segelintir turut mengecam pelantikan itu yang disifatkan kurang sesuai.
Mengulas perkara itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berharap orang ramai tidak mempertikai kelayakan barisan kabinet Harapan, terutama jawatan yang diberikan kepada Mat Sabu memandangkan pemilihan dibuat secara teliti.
“Tidak semestinya beliau perlu miliki latar belakang ketenteraan, yang akan melaksanakan tugas di lapangan adalah ketua angkatan tentera masing-masing yang berkelayakan.
"Sebagai menteri, beliau ditugaskan untuk pantau keseluruhan agar lancar, telus dan bebas salah guna kuasa,” katanya, ketika ditemui pada majlis Kenduri Rakyat Harapan Hutan Kampung, semalam.
Menurutnya, bukan suatu keperluan seorang menteri harus memiliki latar belakang pendidikan berkaitan portfolionya.
“Tak kan pula nak lantik kalangan askar pencen. Negara pernah lantik menteri dan Exco Kesihatan bukan dari latar belakang kesihatan. Yang penting tanggung jawab diberikan itu berlandaskan keyakinan dan kemampuan,” katanya.
Mahfuz berkata, keutamaan juga perlu diberikan kepada kerjasama antara kerajaan dan pegawai pasukan keselamatan.
“Saya fikir yang pertikai bukan dari Panglima angkatan tentera atau Jeneral, saya percaya mereka akan beri kerjasama baik. Ini sekadar mainan blogger parti lawan yang tidak dapat terima hakikat Harapan adalah kerajaan Persekutuan, kita terima kritikan dan tidak perlu emosi,” katanya.
Menurutnya, yang penting adalah komitmen Mat Sabu memastikan pengurusan Kementerian Pertahanan lancar dan kebajikan anggota keselamatan dijaga dengan baik.
“Biar menteri jalankan bidang kuasanya, manakala aspek latihan ketenteraan dan persenjataan diurus badan angkatan tentera,” katanya.
Kerjaya politik Mat Sabu bermula apabila menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada 1975 sebelum sertai Pas pada 1981. Antara jawatan disandang, Timbalan Presiden Pas (2013- 2015), Naib Presiden Pas dan Timbalan Ketua Pemuda Pas.
Beliau pernah ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua kali, pada 1984 sehingga 1986 atas tuduhan terlibat gerakan pelampau dan tahun 1987 hingga 1989 bawah Operasi Lalang bagi menangkap mereka yang menimbulkan kekacauan akibat isu politik ketika itu.
Pada 16 September 2015, Mat Sabu menubuhkan parti Amanah dan dilantik presiden pertama parti serpihan Pas itu.
#ceramah #kabinet #kampung #keselamatan #lawak jenaka #Mahfuz Omar #Mat Sabu #media sosial #Menteri Pertahanan #Mohamad Sabu #Pakatan Harapan #PAS #politik #tentera
;