Usah pertikai keikhlasan kerjasama Bersatu-UMNO di Sabah - Ketua Armada Bersatu Sabah

Eleanor Michelle Patrick
Mac 5, 2021 14:15 MYT
FAIRUZ: "Mengapa dia (Ir Abdul Aziz Julkarnain) seakan-akan gemar menjadi pihak yang mencurahkan minyak kepada api?" - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Ketua Armada Bersatu Negeri Sabah, Fairuz Renddan berharap pihak-pihak yang ingin mempersoalkan keikhlasan dan kejujuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah untuk berhenti daripada membuat tohmahan yang tidak berasas.
Ia terutamanya berkaitan pelantikan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas yang menentang calon-calon UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) September lalu untuk memegang jawatan penting dan strategik dalam negeri.
"Mengapa sekarang ditimbulkan isu sebegini? Keikhlasan dan kejujuran Bersatu terhadap UMNO di Sabah, dan mengapa dia (Ir Abdul Aziz Julkarnain) seakan-akan gemar menjadi pihak yang mencurahkan minyak kepada api?
"Dari sudut mana pula beliau mahu katakan yang Bersatu di Sabah mengkhianati UMNO, sehinggakan mereka terpaksa berlapang dada kerana mahu memperbaiki kerosakan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.
"Di sinilah gambaran mengapa dulu saya pernah menegur beliau untuk siasat sebelum bercakap, berfikir sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan, bukannya emosi membuta-tuli," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Jelas Fairuz, kenyataan yang diluahkan Abdul Aziz dalam statusnya di Facebook itu adalah bersifat 'lancang' dan 'busuk'.
"Dia mengimbau kembali tentang pendirian kerjasama UMNO dengan Bersatu sebelum sebarang rundingan agihan kerusi diteruskan pada PRU-15 kelak, tetapi dia sendiri sebenarnya bercakap tanpa berfikir dua kali.
"Calon UMNO dalam PRN Sabah yang lepas, kalah, pun juga dilantik menjadi Adun dilantik, maka dimana timbulnya isu bahawa Bersatu tidak jujur, tidak ikhlas dan kononnya UMNO terpaksa berlapang dada dengan pengkhianatan Bersatu, semata-mata demi menyelamatkan Sabah," katanya lagi.
Tambah Fairuz, jika pihak tertinggi dalam UMNO telah memutuskan untuk tidak bekerjasama lagi dengan Bersatu dan rakan-rakan lain dalam Perikatan Nasional pada masa akan datang, ia tidak mengapa.
"Tidak mengapa jika begitu sudah diputuskan oleh pimpinan atasan UMNO, namun pada masa kini, di Sabah, selagi kerajaan yang mentadbir adalah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dibentuk dengan kerjasama yang melibatkan kedua-duanya (Bersatu dan UMNO), maka saya berasakan tidak wajar untuk dia (Abdul Aziz) menjadi duri yang terus menusuk dan merosakkan penyatuan GRS untuk Sabah kerana perjalanan GRS di negeri Sabah, untuk rakyat Sabah, masih panjang," katanya.
Selain itu, beliau turut menasihati dan meminta agar Abdul Aziz berhenti berpolitik dan sama-sama membantu usaha kerajaan GRS membendung pandemik COVID-19 di Sabah.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain dalam laman media sosial Facebook beliau telah memuatnaik kenyataan tentang soalan yang beliau terima berkenaan kemanakah hubungan UMNO Sabah dan Bersatu selepas ini.
Dalam status yang ditulis dengan sepuluh perkara dan penjelasan itu, Abdul Aziz juga berkata beliau disoal tentang hala tuju kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khasnya hubungan UMNO dengan Bersatu selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Pusat bermesyuarat dan memberi maklum balas untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain itu, kerjasama UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional juga hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
#PPBM #UMNO #Pemuda UMNO #Facebook #ADUN #pilihan raya umum #Malaysia #COVID-19 #Ketua Armada Bersatu Negeri Sabah #Fairuz Renddan #Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah #Abdul Aziz Julkarnain
;