Usah pedulikan deklarasi, tindakan untuk rakyat lebih penting - Najib
Astro Awani
Mac 19, 2016 17:53 MYT
Mac 19, 2016 17:53 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat untuk tidak mempedulikan gerakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi 'Deklarasi Rakyat.'
Ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.
"Apa yang kita pentingkan bukan deklarasi, apa yang kita pentingkan bukan surat malah bukan juga pengakuan tetapi tindakan yang boleh menguntungkan rakyat seperti projek perumahan,
"Apa guna memekik sana, memekik sini? Melaung sana, melaung sini? Orang yang dulu maki hamun kita, kita pula dakap dia. Ini tidak patut. Apa yang patut adalah untuk kita jaga hati rakyat," katanya.
Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyerahan kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya, Jalan Kuantan-Gambang pada Sabtu.
Tun Mahathir Mohamad bersama beberapa ahli UMNO dan pemimpin pembangkang sebelum ini menandatangani Deklarasi Rakyat yang antara lain mendesak peletakan jawatan perdana menteri.
Tambah Najib, kerajaan BN sentiasa menjaga kebajikan rakyat dengan melaksanakan pelbagai program yang dapat memenuhi kehendak selain memastikan semua akujanji pada manifesto pilihan raya umum lepas dapat dipenuhi.
Najib yang juga Presiden UMNO percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan jika kerajaan berkerja keras, tidak sombong dan bersikap rendah diri.
Perdana Menteri sekali lagi berikrar akan terus beristiqamah dalam perjuangannya dengan fokus kepada pembangunan ekonomi negara kerana perkara itu memastikan peluang pekerjaan bertambah, meskipun dirinya 'diserang' daripada pelbagai sudut.
#berita terkini Najib Razak
#Deklarasi Rakyat
#Najib Razak
#PR1MA
#Tun Mahathir
#usah pedulikan deklarasi rakyat