Usah ditikam kali kedua, tiada lagi kerjasama DAP dengan PN - Guan Eng
Harits Asyraf Hasnan
Mac 20, 2022 14:52 MYT
Mac 20, 2022 14:52 MYT
KUALA LUMPUR: Parti DAP menegaskan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) lantaran pengkhianatan dilakukan terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dua tahun lalu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan DAP tidak boleh membiarkan penipuan dan pengkhianatan sama berulang.
"Mandat sah PH ini telah dirompak pada awal 2020 daripada rakyat dengan pengkhianatan ahli Parlimen oportunis yang ditawarkan jawatan dan dana.
"Atas sebab ini, kita tidak akan bekerjasama dengan PN yang mengkhianati kita.
"Jika kita ditikam daripada belakang sekali, itu salah mereka.
"Jika kita membenarkan mereka menikam belakang kita untuk kali kedua, ini adalah salah kita sendiri," katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di sini pada hari ini.
Pada hujung Februari 2020, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi keluar daripada gabungan PH dan membentuk kerajaan baharu di Putrajaya bersama parti lain atas nama PN.