'Usah biarkan pangkat dan harta kaburi perjuangan PKR' - Ucapan sebak Wan Azizah

Wan Syamsul Amly, Firdaus Azil
November 17, 2018 10:38 MYT
WAN AZIZAH: "Kita lawan kezaliman dan dan kita tegakkan keadilan" - Foto Astro AWANI
Ahli parti diminta tidak menjadikan pangkat, kuasa dan harta mengaburi asas perjuangan dan dasar PKR selama ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kekuasaan dan pangkat yang dimiliki kini adalah ujian untuk parti apabila berada di puncak.
Jelasnya, kekuasaan dan kedudukan yang dimiliki adalah kerana perjuangan setiap anggota di bawah.
"Kita harus iktiraf dan hargai para reformis yang berjuang sejak 1998, mereka yang hilang kerja akibat dibuang dan dipecat, mereka yang jatuh bankrap akibat gagal membayar hutang membiayai perjuangan, mereka yang cedera dipukul, dihina, dicaci, dilokap, dipenjara dan pelbagai penderitaan yang dilalui namun mereka tegar berdiri menyatakan hak kepada pemimpin yanag rakus dan zalim. Ramai juga yang telah meninggalkan kita," kata dengan nada sebak.
Dr. Wan Azizah berkata demikian semasa ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan ke-13 di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, idealisme dan agenda reformasi perlu digenggam erat, diteruskan dan dimantapkan oleh setiap ahli parti.
"Kita berjuangan membela yang hak dan menentang yang batil. Kita tentang kemungkaran dan kita mengajak kepada kebaikan.
"Kita lawan kezaliman dan dan kita tegakkan keadilan. Kita parti yang lahir dari perjuangan, keringat dan air mata rakyat di jalanan, kita bukan lahir dengan hamparan permaidani indah," jelasnya.
Jelasnya lagi, perjuangan 20 tahun PKR penuh dengan halangan dan rintangan dalam tamadun kemanusiaan yang moden.
"Meskipun kita belum sampai ke tahap pengorbanan yang membawa kepada terkorban nyawa; namun penahanan, pemenjaraan, penghinaan, serta segala macam kesusahan telah kita sama-sama lalui demi menjayakan agenda reformasi," ujarnya lagi.
#anggota PKR #Kongres Nasional Keadilan #PKR #politik #presiden #Wan Azizah
;