Usah bercakap tentang demokrasi kalau hak bersuara dihalang - Dr Mahathir
Israr Khalid
November 29, 2015 20:40 MYT
November 29, 2015 20:40 MYT
Keputusan UMNO untuk membenarkan persidangan perwakilan tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing didakwa bertujuan menghalang Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada bersuara.
Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya tindakan itu diambil berikutan kelantangan Timbalan Presiden UMNO itu yang terus-menerus mengkritik kepincangan dalam kepimpinan parti.
"Ini satu bukti mereka tidak mengikut aturan dan tradisi parti kerana orang ini (Muhyiddin) dianggap tidak bersetuju bukan dengan UMNO, tetapi dengan Datuk Seri Najib Razak.
"Bagaimanapun, Muhyiddin kena hadir dan duduk di atas. Dari segi protokol, Muhyiddin adalah orang nombor dua selepas Presiden.
"Kalau beliau nak bercakap, saya harap speaker akan beri peluang kepada beliau untuk bercakap. Kalau tidak, kita tak usahlah bercakap tentang demokrasi," katanya dalam sidang media selepas menutup KL Summit 2015 di Hotel Istana.
Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 24 November memutuskan Timbalan Presiden tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan sayap-sayap parti itu seperti kebiasaannya.
Mengulas lanjut mengenainya, Dr Mahathir membandingkannya dengan krisis yang dihadapi UMNO sekitar lewat 80-an, ketika itu tiada siapa dihalang daripada bersuara dan mereka terbuka untuk berkempen.
"Ini saya nak jumpa dengan ahli UMNO tak boleh, nak jumpa menteri UMNO tak boleh. Saya pun ahli UMNO juga, tapi bekas Presiden-lah," ujarnya.
Mengulas desakan beberapa ketua cawangan yang meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Presiden, beliau menegaskan ia hak untuk sesiapa pun dalam parti untuk bersuara.
"UMNO menjadi UMNO kerana ada ahli. Untuk pengurusan, kita susun UMNO dalam bahagian dan cawangan.
"Tetapi apabila pengurusan ini sudah tidak bergerak sebagai badan yang akan mewakili suara ahli, maka pihak lain berhak untuk menyuarakannya.
"Kita dapati sekarang Ketua-Ketua Bahagian sudah jadi bisu. Jadi, bila orang bisu ini tak boleh nak bercakap, maka orang yang boleh bercakap ini bercakaplah," jelasnya.