UPKO konsisten sokong Anwar calon Perdana Menteri

Eleanor Michelle Patrick
Ogos 18, 2021 22:46 MYT
Nelson W Angang berkata akuan bersumpah (SD) telah dihantar ke Istana Negara, hari ini. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) konsisten dalam pendirian mereka menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang berkata akuan bersumpah (SD) telah dihantar ke Istana Negara, hari ini.
"UPKO konsisten dengan keputusan menyokong Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia.
"Presiden kami, Datuk Seri Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran sudah menghantar SD untuk mengesahkan sokongannya," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Tambah Nelson, kenyataan tersebut dibuat bagi menjelaskan pendirian parti itu, sekiranya terdapat kekeliruan atau tuntutan yang mengatakan sebaliknya.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?
Titah Agong | Undi percaya kerana tauladan, situasi semasa
Sebelum ini, UPKO tidak pernah menamakan mana-mana Ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, pada Isnin.
Tindakan itu diambil Muhyiddin selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional.
Setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan Perdana Menteri, siapa yang akan mengisi jawatan tersebut dan membentuk kerajaan terus menjadi tanda tanya.
#Politik Malaysia #UPKO #calon perdana menteri #Anwar Ibrahim #Nelson W Angang #SD #Yang di-Pertuan Agong #Perdana Menteri
;