Untuk apa sokong pakatan pembangkang? - Syed Ali
Astro Awani
Mac 14, 2017 06:00 MYT
Mac 14, 2017 06:00 MYT
Rakyat dinasihatkan tidak mudah tertipu dengan helah politik yang sekarang ini hebat dicanangkan oleh DAP, PKR, Amanah dan parti serpihan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, sehingga kini, blok pembangkang yang kononnya bergabung atas nama pakatan harapan sekadar indah khabar dari rupa.
"Tidak ada apa-apa kejutan dan harapan menggunung daripada pakatan tersebut. Saya melihat gabungan tersebut sekadar pakatan tanpa asas, ikatan tanpa tali yang boleh meyakinkan rakyat betapa mereka mampu sekata dalam strategi politik.
"Ini terbukti sehingga kini pakatan tersebut kelihatan longlai dan tidak bermaya untuk menyimpulkan kesepakatan yang benar-benar kukuh dan boleh diyakini, sepertimana ampuhnya UMNO bersama gagasan Barisan Nasional (BN).
"JIka pakatan harapan masih longlai dan longgar sana-sini, maka tidak ada faedahnya untuk rakyat memberikan sokongan kepada pakatan tersebut. Tidak ada faedahnya untuk rakyat menyokong mereka kerana mereka sendiri tidak sekuat BN," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Tegasnya, parti pembangkang hanya bercakap atas dasar kesaksamaan yang kabur kononnya mereka sudah bersatu untuk menentang UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 seperti diperkatakan akan berlaku pada tahun ini.
"Jika sesama mereka jujur dan ikhlas untuk berganding bahu, maka sudah lama mereka bergerak di ata satu pakatan atau berada dalam dalam kesepakatan yang sah dari segi undang-undang, menggunakan satu 'lambang' seperti BN.
"Mengapa mereka tidak menubuhkan satu pakatan di bawah satu simbol seperti simbol 'dacing' pada BN? Jawapannya kerana di kalangan mereka masing-masing mempunyai ego politik yang tinggi, kesombongan sesama mereka yang tidak mahu tunduk mengalah hanya disebabkan kelainan ideologi politik.
"Ini bermakna, pakatan pembangkang sememangnya tidak boleh dipercayai dan apabila tidak boleh dipercayai, maka untuk apa rakyat menyokong mereka?" soalnya.
Tambah Syed Ali, semua orang juga sedia tahu DAP sentiasa bermegah dengan politik yang hanya memperjuangkan kepentingan satu kaum sahaja.
"PKR pula sekadar menjunjung perjuangan sia-sia mantan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berehat panjang di penjara Sungai Buloh ekoran pertuduhan meliwat.
"Manakala AMANAH yang ketuai oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu pula hanya meneruskan dendam politiknya terhadap PAS apabila mereka tidak sekata dalam jemaah ulama dalam parti Islam tersebut.
"Untuk PPBM pula, parti serpihan daripada UMNO sekadar meneruskan impian segelintir puak yang kecewa dan memusuhi Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak," ujarnya.
Pas pula katanya, sehingga kini masih tidak konsisten dengan pendirian mereka setelah mengambil keputusan memencilkan diri daripada pakatan pembangkang, gara-gara marahkan DAP.
"Saya melihat selepas ketiadaan Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pas seakan-akan seperti hilang arah pedoman, laksana 'anak ayam kehilangan ibu' dan 'perahu kepatahan dayung'!
"Jadi, jika disimpulkan agenda parti-parti tersebut, ternyata agenda mereka adalah untuk memuaskan gelodak politik kebencian dan perkauman, bukannya berbekalkan semangat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat keseluruhannya.
"Jika kesemua parti pembangkang dengan agenda amsing-masing di samping ego politik yang menebal, maka rakyat terutamanya orang Melayu sudah semestinya akan kekal memberikan sokongan kepada UMNO," jelasnya.
Dalam pada itu kata Syed Ali, kemungkinan untuk Pas menjalin kerjasama dengan UMNO boleh berlaku bersandarkan kepada kepentingan orang Melayu dan umat Islam pada PRU-14 kali ini.
"Kerjasama itu walaupun asasnya membabitkan agenda politik tetapi boleh diperluaskan kepada kepentingan bersama demi untuk kelangsungan masa depan orang Melayu.
"Semuanya tidak mustahil dan boleh berlaku terutama ketika suasana PRU-14 yang dilihat semakin hampir ini.
"Tidak ada halangan yang boleh mencacatkan usaha kerjasama politik membabitkan Pas dan UMNO jika ianya dibuat dengan rasa ikhlas dan bertanggungjawab," katanya.
Jelasnya, secara realitinya Pas memerlukan sokongan dan dokongan majoriti orang Melayu dan umat Islam di negara ini jika benar parti itu mahu memperjuangkan Islam.