Ungkapan 'babi', bangang' di DUN Melaka: Norhizam, Chee Leong bertikam lidah
Shuhada Abdul Kadir
September 23, 2021 16:20 MYT
September 23, 2021 16:20 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang sebelum ini terkenal dengan jolokan ‘YB Gangster’ sekali lagi mencuri tumpuan pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.
Ia selepas berlaku pertikaman lidah ketika menjawab soalan tambahan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) berkenaan kesan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (MWEZ) terhadap nelayan Pantai Kundor.
Norhizam yang juga EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada awalnya memaklumkan beliau sentiasa peka dengan nasib para nelayan, bagaimanpun perlu melihat dahulu hasil laporan Penilaian Impak Perikanan (FIA) di kawasan terlibat.
Sambil menggelarkan dirinya sebagai ‘laksamana laut’, Norhizam menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya laporan teknikal FIA membuktikan projek berkenaan mendatangkan kesan kepada laut, nelayan atau pun mata pencarian.
Sidang DUN Melaka kecoh tikam lidah Norhizam dengan Chee Leong
Chee Leong bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan dan menyifatkan Norhizam tidak menjawab soalannya yang mahu supaya laporan FIA dibentangkan.
Norhizam menjelaskan, beliau tidak dapat mengumumkan FIA tersebut kepada DUN kerana laporan berkenaan belum dikeluarkan pihak berwajib.
Situasi terus gamat apabila Chee Leong mula menggelar Norhizam sebagai ‘pengkhianat’ dan ‘penderhaka Pakatan Harapan’ sebelum Norhizam mengeluarkan ungkapan ‘bodoh’, ‘awak tanya saya jawablah bangang’.
Timbalan Speaker, Datuk Ghazale Muhamad kemudian berkali-kali meminta dua ADUN berkenaan bertenang dan menghormati peraturan DUN sebelum pertengkaran yang tercetus kira-kira lima minit itu kembali reda.
Untuk rekod, Norhizam yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi DAP Melaka dan menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu atas tiket Pakatan Harapan mengumumkan menjadi calon bebas dan menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN).