'Undi18 sudah dilulus di Dewan Rakyat, sepatutnya dilaksanakan' - Najib

Fareez Azman
Ogos 14, 2021 17:37 MYT
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjelaskan bahawa Undi18 telahpun diluluskan majoriti dua pertiga di Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tawaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meluluskan Undi18 di Dewan Rakyat sebenarnya sudahpun diluluskan majoriti dua pertiga Parlimen.
Menurut Ahli Parlimen Pekan yang juga Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam entri terbaharu di laman Facebooknya, Undi18 sepatutnya sudah dilaksanakan ketika ini.
"Antara tawaran yang dibuat kerajaan PN semalam ialah untuk meluluskan Undi18 yang sebenarnya sudahpun diluluskan dengan majoriti dua pertiga Parlimen dan sepatutnya sudah dilaksanakan.
"Ya, dia (Perdana Menteri) tawar untuk luluskan sesuatu yang sebenarnya dah lama lulus dan dah lama patut dibuat sekiranya mahu ikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan - iaitu kuasa Parlimen lebih besar berbanding Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
"Tapi Perdana Menteri ke-8 fikir kuasa dia lebih besar berbanding Parlimen dan Perlembagaan," dakwa Najib.
[TERKINI] Ucapan Khas Perdana Menteri | 13 Ogos 2021
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen.
Pelaksanaan Undi18 merupakan antara tawaran yang digariskan Muhyiddin dalam usaha mendapatkan sokongan Ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) terus mentadbir negara.
Menerusi tawaran itu jelas Muhyiddin, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.
#Muhyiddin Yassin #Dewan Rakyat #Najib Razak #Parlimen #pembangkang #Perdana Menteri #undang-undang #Undi 18 #kerajaan #Perikatan Nasional #PN #Politik Malaysia
;