Undi18: PRN Johor bakal jadi penanda aras negeri lain - Tharma Pillai

Rahimah Abdullah
Januari 23, 2022 04:50 MYT
THARMA PILLAI: Saya memang rasa begitu teruja sebab inilah perjuangan Undi18. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain dalam melaksanakan pendaftaran automatik Undi18 dan calon wakil rakyat berusia semuda 18 tahun.
Pengasas Bersama Undi18 Tharma Pillai menyifatkan situasi berkenaan sebagai dinamik baharu dalam politik, melalui penglibatan lebih ramai anak muda.
"Saya memang rasa begitu teruja sebab inilah perjuangan Undi18. Memang orang muda berumur 18, 19, 20 tahun akan mampu mengundi dalam pilihan raya akan datang kerana pindaan Enakmen Undi18 dilaksanakan sepenuhnya.
"Dan Januari tahun ini, kita akan nampak penambahan (pengundi muda)," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
BACA: Lebih 4 juta belia berusia 18 tahun didaftar secara automatik sebagai pemilih setakat 16 Jan - PM
BACA: Undi18: Johor lulus pindaan kelayakan umur calon pilihan raya
Bagi negeri Johor sahaja, ia akan menyaksikan pertambahan seramai 700,000 pengundi baharu dari kalangan anak muda yang layak mengundi pada PRN Johor.
"700,000 anak muda ini akan meningkatkan jumlah pengundi di negeri Johor sebanyak 40 peratus. Maka ia adalah penambahan yang begitu besar.
"Kedua, baru-baru ini juga kita ada pindaan Enakmen Tubuh Kerajaan Negeri Johor untuk menurunkan umur calon selaras dengan Kerajaan Persekutuan.
"Kita akan nampak ini adalah dinamik baharu, di mana anak muda akan menjadi sebahagian daripada pilihan raya dan menjadi calon, serta kita akan nampak apa yang mereka mahukan.
"Maka inilah dinamik baharu yang menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain," ujar beliau.
Bagaimanapun, beliau berpendapat masih terlalu awal untuk mendakwa PRN Johor bakal menjadi 'game changer' untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ia berikutan banyak faktor yang perlu diambil kira termasuk perkara-perkara yang tidak dijangka seperti COVID-19.
"Faktor pertama ialah COVID-19 itu sendiri, di mana (menyebabkan) tak ramai keluar mengundi, peratusan mengundi akan rendah, mereka yang di luar Johor juga sukar untuk balik.
"Mungkin ada faktor kurang undi, maka hati-hati sebelum kata ia game changer.
"Namun, saya boleh katakan ini menunjukkan bahawa parti UMNO dan BN ingin menguasai negeri dengan lebih kuat untuk mandat lebih kuat, ini menarik," ujarnya.
#PRN Johor #pengundi muda #Tharma Pillai #dinamik baharu
;