Undi18: 'Persoalan ini patut dijawab di Parlimen, bukan balai polis' - Hannah Yeoh

Fareez Azman
April 2, 2021 16:50 MYT
Hannah Yeoh, Mazlee Malik, Maria Chin Abdullah dan Datuk Ambiga Sreenevasan dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung protes Undi18 dihadapan bangunan Parlimen minggu lalu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa pihak pembangkang mempunyai banyak persoalan yang ingin ditanyakan kepada Menteri Undang-Undang, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung pelaksanaan Undi18.
Ujarnya, perkara itu seharusnya dibangkitkan di Parlimen dan bukannya di balai polis apabila dia dipanggil memberi keterangan pada Jumaat.
Menurut Yeoh, majoriti ahli Parlimen berusia 50 tahun ke atas dan lebih berisiko terdedah kepada jangkitan wabak itu.
"Stadium telah boleh dibuka, menteri boleh hadiri majlis perkahwinan besar-besaran, menteri boleh rentas negeri dan ke luar negara.
BACA: Undi18: Pelaksanaan ditunda, tindakan tidak adil terhadap golongan muda - Tun Mahathir
"Jadi, sampai masa untuk kita dibenarkan menjalankan tugas kami di Parlimen. Kita ada banyak soalan untuk Menteri Undang-Undang terutamanya berhubung pelaksanaan untuk membenarkan individu berusia 18 tahun mengundi, jadi persoalan ini patut kita jawab di Parlimen dan bukan di balai polis," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
BACA: Undi18: Penangguhan nafikan hak orang muda, pencabulan demokrasi - Maszlee
Undi18: 18 anak muda mahu fail semakan kehakiman
Yeoh bersama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Mazlee Malik, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan bekas pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung protes Undi18 dihadapan bangunan Parlimen, minggu lalu.
Himpunan secara aman itu diadakan bagi meluahkan rasa kesal terhadap pengumuman SPR baru-baru ini bahawa kelayakan mengundi 18 tahun (Undi18) dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak dapat dilaksanakan Julai ini.
Sementara itu, S.Ambiga turut menyeru golongan muda agar mengambil bahagian dan mendaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mereka mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Ujarnya, semua pihak tidak seharusnya berdiam diri berhubung pelaksanaan Undi18 yang tidak dapat dilaksanakan Julai ini, sebaliknya dijangka selepas 1 Sept depan.
"Saya seru semua (golongan muda) yang berusia 21 tahun ke atas untuk mendaftar, ini adalah hak anda, kena tunjukkan terhadap apa yang mereka (kerajaan) lakukan terhadap Undi18. Tolonglah buka Parlimen, kita mahukan akauntabiliti.
"Kita tidak boleh senyap mengenai perkara ini, kalau kita senyap, ia akan terus berlaku lagi dan lagi," tambahnya.
#Maria Chin Abdullah #Takiyuddin Hassan #pembangkang #Petaling Jaya #perkahwinan #rentas negeri #menteri #Bersih #Parlimen #pilihan raya #Hannah Yeoh #s ambiga #Maszlee Malik #Undi18 #SPR #Perikatan Nasional
;